Aktivis Felda Mazlan Aliman dibebaskan daripada tahanan polis

KUALA LUMPUR: Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman yang direman sejak Khamis lalu, dibebaskan 12 tengah hari tadi, kata peguamnya.

Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, Mazlan dibebaskan lewat sejam berbanding jangkaan 11 pagi yang diumumkan beliau semalam kerana ada prosedur yang perlu diikuti.

“Baru dimaklumkan yang Mazlan Aliman dibebaskan di Balai Polis Jinjang,” katanya kepada FMT sebentar tadi.

Pada 22 Mac lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur meluluskan perintah reman 5 hari ke atas Mazlan sehingga esok.

Wan Anwar berkata, aktivis itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Polis menahan Mazlan Rabu lalu, selepas isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor membuat laporan polis terhadapnya Isnin lalu.

Ia selepas ahli Jawatankuasa Pusat Amanah itu mendakwa Rosmah terlibat dalam projek penternakan ikan sturgeon menelan berjuta ringgit oleh Felda, tetapi gagal dilaksanakan.

Projek itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu, di mana 5 pegawai kanan Felda ditahan pada 24 Januari 2017 kerana disyaki terbabit dalam kes penyelewengan projek Pemindahan Teknologi Penternakan Ikan Sturgeon bernilai kira-kira RM47.6 juta sejak 2014.

Mazlan dalam sebuah program ceramah bulan ini mendakwa beliau diberitahu seorang pegawai Felda yang ditahan SPRM, projek penternakan ikan itu mendapat “restu” Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Rosmah menasihatkan pegawai Felda cara menggerakkan projek terbabit.

Seksyen 500 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara 2 tahun atau denda atau kedua-duanya untuk kesalahan memfitnah.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *