MP Segambut persoal hukuman ‘ringan’ bekas Pengarah DBKL

KUALA LUMPUR: Anggota parlimen Segambut Lim Lip Eng menuntut penjelasan berhubung status lapan unit kondominium milik bekas pengarah eksekutif (pengurusan projek) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah dijatuh hukuman penjara lapan bulan dan denda RM80,000.

Malah, pemimpin DAP itu turut mempertikaikan hukuman ‘ringan’ terhadap Datuk Seri Syed Afendy Ali Syed Abid Ali sedangkan beliau didapati bersalah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan lapan unit kondominium yang kesemuanya bernilai hampir RM2 juta.

“Mereka buat salah dengan salah gunakan kuasa mereka dan dihukum penjara lapan bulan penjara dan denda sahaja sedangkan ia libatkan lapan kondominium (semuanya) bernilai RM2 juta.

“Ini memberi mesej salah kepada pengarah-pengarah kerajaan di agensi lain bahawa kalau mereka buat salah, salah guna kuasa untuk cari keuntungan sendiri, bila ditangkap dan disabit oleh mahkamah hukumannya hanya beberapa bulan penjara.

“Saya nak minta pihak menteri ke atau jurucakap kerajaan untuk beri komen sama ada lapan kondominium itu (akan diberi pada Syed Afendy) atau tidak selepas lapan bulan penjara,” katanya pada sidang media di Parlimen semalam.

Hakim Allaudeen Ismail semalam membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Syed Afendy, 56, di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun, hakim membenarkan permohonan peguam Hamidi Mohd Noh, yang mewakili Syed Afendy untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah turut mengekalkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin yang dikenakan terhadap tertuduh selain memerintahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes rayuan selesai.

Bagi pertuduhan pertama hingga kelapan, Syed Afendy, yang ketika itu pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan (JPEPP) DBKL, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan lapan unit kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur.

Aset tersebut masing-masing bernilai RM249,990 daripada syarikat Danau Lumayan Sdn Bhd adalah untuk empat individu iaitu Minah Abdullah, 75; Mazwan Amin Mohd Noor, 46; Syed Ashraf Ali Syed Afendy Ali; 30, dan Rodziah Abd Samad, 56.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di pejabat pengarah JPEPP DBKL, di Kuala Lumpur, di antara 6 Sept 2013 dan 16 Okt 2014 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *