KM Pulau Pinang persoal mengapa acara Ku Nan di sekolah tak disiasat?

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempersoalkan mengapa tiada siasatan dilakukan terhadap pemimpin BN yang menggunakan sekolah untuk mempromosikan Umno.

Beliau memberikan contoh lawatan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ke SK Putrajaya Presint 14, Oktober tahun lalu di mana murid di sekolah berkenaan diminta menyanyikan lagu Umno dan mengibarkan bendera parti itu.

“(Kenapakah) okay bagi Setiausaha Agung dan Menteri Umno, Tengku Adnan tahun lalu pergi ke sekolah rendah di Putrajaya dan hentikan murid dari belajar untuk menyanyi lagu parti Umno dan mengibarkan bendera Umno?

“Kenapa tak ada siasatan yang dilakukan oleh polis terhadap Tengku Adnan untuk kesalahan yang lebih serius dan tidak menyenangkan?” soal Lim dalam satu kenyataan media.

Terdahulu, pihak polis hari ini dilapor sedang menyiasat Lim berhubung video yang memaparkan beliau menyanyikan lagu anti GST bersama kanak-kanak.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang A Thaiveegan, siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 223(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

MCA sebelum ini turut mendakwa Lim mempengaruhi pemikiran kanak-kanak dengan pesanan anti kerajaan melalui nyanyian lagu.

Menyifatkan tindakan terhadapnya sebagai dwsitandard, Lim berkata beliau menari dan menyanyi bersama kanak-kanak berkenaan di sebuah kelas tuisyen di kawasan flat dan bukan sekolah.

“Walaupun ada pandangan sama ada ia sesuai, saya ingin menegaskan bahawa ia bukan sekolah seperti dikatakan pemimpin BN tetapi di kawasan flat kos rendah pada hujung minggu,” katanya.

Sementara itu Lim juga mendakwa berlaku amalan dwistandard terhadap rancangan kerajaan negeri Pulau Pinang membina terowong dasar laut bernilai RM3.6 bilion.

“Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan cadangan terowong bawah laut RM78 bilion dari Sumatera ke Bagan Datoh, Perak pada 18 Mac.

“Namun BN cuba mensabotaj projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas antara pulau dan tanah besar,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *