Mahathir akui ada kelemahan Manifesto Pakatan Harapan tangani OKU

SHAH ALAM: Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui terdapat kelemahan dalam manifesto gabungan itu untuk golongan orang kelainan upaya (OKU).

Bagaimanapun, beliau berkata tidak semua perkara dapat dimasukkan ke dalam manifesto HARAPAN, yang pada masa ini mengandungi lima baris ayat berkaitan masyarakat OKU.

“Saya yakin sepanjang masa kita boleh dapat maklumat tentang apa lagi yang boleh dilakukan oleh pemerintah apabila kita jadi pemerintah,” kata Mahathir.

Mengadakan sebuah pusat dasar masyarakat kelainan upaya dan meningkatkan peruntukan bagi pendidikan khas di sekolah kerajaan merupakan antara butiran yang terkandung dalam manifesto HARAPAN.

Mahathir bersama Presiden AMANAH Mohamad Sabu menjadi antara ahli panel dalam sesi dialog dengan dua orang aktivis masyarakat kelainan upaya.

HARAPAN pertimbang calon kelainan upaya

Selain dua orang aktivis OKU tersebut, turut hadir kira-kira 10 orang wakil masyarakat kelainan upaya dalam program anjuran Pemuda AMANAH Selangor itu.

Manakala itu, sebagai menjawab soalan daripada seorang hadirin, Mahathir berkata beliau tidak ada masalah untuk HARAPAN mempertimbangkan satu peratus kerusi mereka kepada wakil masyarakat kelainan upaya dalam pilihan raya umum akan datang.

“Saya berpendapat bahawa kalau ada calon yang berkaliber, berkebolehan, saya tak nampak kenapa mereka tak boleh dicalonkan

“Tapi kita kena timbang peranan yang akan dimain selepas PRU.

“Saya dapati kawan-kawan kita dua ni cukup fasih bercakap, boleh berhujah dengan cara cukup licin. Saya fikir dengan kebolehan politk mereka, saya ingat tak apa. Tapi kalau dapat orang berkebolehan, saya fikir patut diberi pertimbangan,” kata beliau merujuk dua orang aktivis masyarakat kelainan upaya tersebut.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *