Jawatan Menteri Besar Pakatan Harapan hanya dua penggal berkhidmat

SEREMBAN: Sekiranya Pakatan Harapan (PH) menerajui negeri dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang, semua calon menteri besar yang akan dilantik hanya ditetapkan dua penggal berkhidmat.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan Mohamad Sabu berkata PH tidak menetapkan mana-mana calon menteri besar sekiranya calon parti mempunyai lebihan kerusi dimenangi pada PRU14, lapor Malaysia Dateline.

“Kita belum tentukan tetapi kita kempen jangan undi dacing dan bulan. Kita tidak ada kempen untuk undi calon menteri besar.

“Kita belum putuskan (siapa calon menteri besar) semua mesti kerja kuat supaya parti mereka menang besar.

“Kita akan bincang pada ketika Pakatan Harapan menang nanti siapa yang bakal jadi calon menteri besar

“Dua penggal pun sudah cukup gembira kerana umur kami pun belum tentu dua penggal.” ujarnya berseloroh.

Sebelum ini menerusi manifesto 100 hari PH menetapkan bagi jawatan Perdana Menteri hanya dua penggal berkhidmat.

Mohamad yang juga Presiden AMANAH berkata, Negeri Sembilan antara negeri yang menjadi sasaran selepas Selangor di selatan tanah air.

”Memang 2013 ada sedikit penurunan undi Melayu kerana isu perkauman dan agama dimainkan. Dengan perpaduan empat parti dan kehadiran Tun Dr Mahathir kita nampak orang Melayu bersama dengan Pakatan Harapan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan dalam siri Jelajah Pakatan Harapan ke Negeri Sembilan yang turut dihadiri barisan kepimpinan utama empat parti gabungan.

Turut hadir Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir , Pengerusi DAP Negeri Sembilan Anthony Loke dan Pengerusi PH Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Hari ini PH akan mengadakan walkabout bersama Mohamad Sabu di Pasar Malam Taman Senawang Jaya jam 5 petang ini.

Manakala Dr Wan Azizah pula akan mengadakan Dialog Bersana NGO Wanita di Rembau pada jam 5 petang.

Selain Mukhriz akan mengadakan Dialog Bersama NGO di Dewan Garden Hotel Senawang jam 5 petang.

Pada sebelah malam Ceramah Perdana Pakatan Harapan akan diadakan di Betaria Bisness Centre jam 8 malam ini yang akan turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan kepimpinan utama negeri PH.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *