Zunar memberi amaran kepada orang ramai supaya ketawa secara berhati-hati

KUALA LUMPUR: Kartunis Zunar sudah beberapa kali berdepan masalah kerana cuba membuat orang ketawa.

Tetapi, walaupun 9 daripada buku komiknya diharamkan kerana mengejek pemimpin kerajaan, berdepan dakwaan menghasut dan larangan perjalanan, Zunar masih mampu ketawa.

Semalam, semasa melancarkan satu lagi koleksi komik yang berkisar politik, Zunar mempelawa rakyat untuk ketawa bersamanya dan menjelaskan alasannya.

Katanya, ia “alat paling berkesan” apabila berdepan berita skandal politik, iaitu tema yang beliau sering gunakan dalam karyanya.

Dan menjelang pilihan raya umum akan datang, katanya, tiada sebab untuk tidak ketawa.

“Kepada mereka yang tidak tahu apa perlu dilakukan sebelum pilihan raya umum, saya ajak anda untuk ketawa.

“Tiada mana-mana kerajaan di dunia yang boleh tahan apabila rakyat mengetawakan mereka. Ia sangat memalukan,” katanya pada pelancaran bukunya “Ketawa Pink Pink” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, malam tadi.

Tetapi, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque, juga memberi amaran kepada orang ramai supaya “ketawa secara berhati-hati”.

“Apa saja boleh berlaku. Siapa tahu, kerajaan akan membentangkan Akta Ketawa 2018. Selepas itu, anda harus mohon permit untuk ketawa.”

Dengan sejarah pengharaman bukunya, Zunar sukar mendapatkan pencetak untuk mengeluarkan “Ketawa Pink Pink”. Sebelum ini, 3 syarikat percetakan yang mencetak bukunya diserbu.

“Ia sudah sampai tahap di mana saya perlu menyorokkan nama pencetak. Jika anda mahu tahu siapa mencetak buku saya, anda harus masuk peraduan ‘gores dan menang’ untuk melihat syarikat apa yang mencetak,” katanya sambil berjenaka.

Kerajaan setakat ini mengharamkan 9 karya Zunar, termasuk 3 yang diharamkan tahun lepas.

Kartunis itu juga dilarang ke Singapura untuk menghadiri sebuah forum pada Oktober 2016.

November lalu, beliau gagal dalam cubaan membatalkan sekatan ke luar negara di Mahkamah Tinggi. Beliau kini cuba mencabar kesahihan undang-undang imigresen di Mahkamah Persekutuan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *