MP Kuala Terengganu persoal harga bas jutaan ringgit, kerosakan kecil tak boleh baiki

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad mempersoalkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman bahawa bas amfibia atau amphicoach bernilai RM3 juta yang dipandunya sendiri, Isnin lalu hanya mengalami “kerosakan kecil”.

“Kerosakan kecil sekali pun kenapa ia mengambil masa sebegitu lama, dari siang sampai malam tak boleh baiki?

“Ini baru sungai dan tak masuk laut lagi dan adakah bas ini perlu dibawa ke Eropah untuk dibaiki.

“Dan kita tak nampak lagi bas ini berjalan semula dan ini menjadi bahan jenaka tentang bas yang begitu mahal tetapi tak berapa lama dah rosak,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Laporan Bernama kelmarin memetik Ahmad Razif sebagai berkata beliau sendiri yang memandu bas itu dan mungkin ketiadaan pengalaman, kenderaan berkenaan mengalami “kerosakan kecil”.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul Bahrin berkata, pembelian bas yang bertujuan membantu mangsa ketika banjir adalah satu pelaburan yang membazirkan.

“Ini adalah satu pelaburan yang tidak berbaloi dan sekadar gimik.

“Nak tunjuk kononnya canggih tapi manfaatnya sangat minimum.

“Dia kata ini (bas) untuk pelancongan dan menolong mangsa banjir tetapi tak banjir pun dah rosak, kalau banjir arus lagi deras dan saya rasa ini amat berbahaya,” katanya.

Sebelum ini, video bas amfibia yang sedang dipandu uji oleh menteri besar di Sungai Terengganu menjadi tular di media sosial apabila ia mengalami kerosakan.

Ia kemudian menjadi bahan jenaka sekumpulan lelaki yang sedang memancing di sungai berkenaan. Sambil ketawa, lelaki itu kemudian mempertikaikan harga bas yang dianggal mahal itu.

“Bas RM3 juta, bawa turun dua kali, (sudah) jammed. Paghok (teruk),” kata lelaki itu yang dipercayai berada di atas sebuah bot.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *