Membawa penawar ke pedalaman Cameron Highlands, sebuah catatan

CAMERON HIGHLANDS: Pada 9 Mac sehingga 11 Mac, DAP Cameron Highlands di bawah pimpinan M. Manogaran dengan bantuan Impian Malaysia yang diwakili oleh Mia Yusri dan kerjasama doktor dari persatuan Federation of Private Medical Practitioners’ Associations of Malaysia (FPMPAM) telah menganjurkan Kem Kesihatan di Kampung Asli Pos Titom dan Pos Lenjang, Kuala Lipis, Pahang.

Tujuh doktor yang terdiri daripada Pakar Sakit Puan, Pakar Kulit, Pakar Tulang, empat doktor umum, dua ahli farmasi dan sembilan graduan ijazah perubatan telah memberi sumbangan hebat dan bermakna kepada masyarakat di sini yang amat memerlukan bantuan dan bimbingan kesihatan.

Perjalanan bermula lebih kurang jam satu petang menggunakan kenderaan pacuan empat roda disebabkan keadaan jalan yang amat teruk berbecak dan bahaya.

Cabaran pertama yang dihadapi oleh kami ialah melalui jalan berlumpur, merentasi sungai dan melalui jalan tar yang rosak. Tepat jam lima petang, pasukan kami tiba di Kampung Titom, Pos Titom. Ketibaan kami disambut mesra oleh Batin Ramli dan penduduk kampung dengan persembahan tarian dan nyanyian.

Pada pagi Sabtu, kemudahan rawatan kesihatan telah pun tersedia dan kami mula menerima pendaftaran penduduk kampung yang hadir mendapatkan rawatan.

Bagi mereka yang menghidap demam denggi dan malaria yang tidak boleh dirawat kerana kekurangan kemudahan perubatan, doktor telah memberi surat rujukan untuk dibawa ke hospital berdekatan.

Kehadiran kami dialu-alukan

Sekitar jam tiga petang, kami bertolak ke destinasi kedua iaitu Kampung Dayok di Pos Lenjang. Setibanya di sana, Batin Kamal di Kg Dayok dan penduduk kampung menyambut rombongan kami dan mengucapkan penghargaan.

Batin Kamal kemudian turut berkongsi cerita dan pantang larang Kampung Dayok serta bagaimana mereka meraikan Hari Menuai. Beliau juga telah menjemput kami untuk menghadiri Pesta Menuai yang akan langsung pada minggu hadapan.

Pada keesokan harinya iaitu, 11 Mac, pasukan kami mula memberi khidmat rawatan dan bimbingan kesihatan kepada penduduk yang datang beramai-ramai untuk mendapat rawatan dari pakar.

Maklumbalas yang kami terima dari kedua-dua kampung amat positif dan ini menjadi motivasi buat kami untuk menganjurkan lebih Kem Kesihatan demi kebaikan penduduk yang terabai dari mendapatkan kemudahan kesihatan yang sempurna.

Antara cabaran yang dihadapi oleh pasukan kami ialah melalui jalan dan kekurangan kemudahan elektrik. Ini adalah perkara yang amat menyedihkan meskipun setelah 60 tahun negara kita mendapat kemerdekaan.

Sukar dibayangkan bagaimana masih ada lagi kawasan yang tidak memiliki kemudahan elektrik dan infrastruktur asas yang baik di negara ini.

Apabila ditanya kepada kanak-kanak bagaimana mereka belajar pada waktu malam, mereka menjawab dengan malu tidak boleh belajar kerana ketiadaan eletrik.

Walaupun kami terdiri daripada mereka yang tinggal di kawasan bandar, kami tidak kekok untuk kami menyesuaikan diri mengikut keadaan dan kemudahan yang disediakan.

Kami amat berterima kasih kepada semua Batin dan penduduk kampung yang memberi layanan yang amat mesra sepanjang berlangsungnya Kem Kesihatan ini. Pasukan kami telah dan akan terus memberi rawatan yang terbaik dengan segala keupayaan yang ada tanpa mengira bangsa dan agama.

Pengalaman tiga hari memberi khidmat kesihatan kepada komuniti Orang Asli di Pos Titom dan Pos Lenjang begitu memberi kesan mendalam dan semangat untuk menjana perubahan!

>> Komentar bebas Revathi Manogaran & Thulsi Manogaran, aktivis Impian Malaysia I 17 Mac 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *