Kempen TPM memalukan, pemimpin di Afrika pun tidak berkempen sebegitu

Dalam satu cubaan untuk menambah kemenangan kepada UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi menjanjikan pembinaan sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah atau IPD di kawasan Tanah Merah.

Bagaimanapun, janji beliau itu tidaklah percuma, sebaliknya dengan syarat BN mesti menang kesemua tiga kerusi DUN dan peningkatan 100 peratus majoriti kemenangan untuk kawasan Parlimen Tanah Merah.

“Sebagai Menteri Dalam Negeri, permintaan untuk membina IPD berharga RM200 juta saya luluskan dengan bersyarat.

“Dalam pilihanraya nanti, ketiga-tiga DUN mesti menang dan majoriti bagi Parlimen meningkat 100 peratus, ” ujar beliau dalam satu himpunan bersama rakyat di Tanah Merah.

Weyy…jenis janji apa seperti ini?

Adakah negara membangun dan sedang menuju tahap berpendapatan tinggi seperti Malaysia, masih wajar mengamalkan kempen sekuno itu?

Janji terbaru Zahid Hamidi buat pengundi Tanah Merah ini bukan saja memalukan, suatu bentuk rasuah dan ugutan yang nyata, malah seolah-olah menjadikan pasukan polis sebagai taruhan untuk menentukan kemenangan UMNO dan BN dalam PRU 14 akan datang.

Tidakkah polis bertanggungjawab menjaga keselamatan dan keperluan mewujudkan balai atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sepatutnya mengambil kira faktor-faktor lain dan bukannya sama ada UMNO menang pilihanraya atau tidak?

Untuk rekod, Parlimen Tanah Merah dimenangi oleh BN dalam pilihanraya lalu dengan majoriti 4227 undi.

Bagi tiga kerusi DUN dalam kawasan itu pula, satu daripadanya iaitu Gual Ipoh dimenangi oleh BN dengan majoriti 1404 undi, manakala dua lagi iaitu Bukit Panau dan Kemahang dimenangi oleh Pas dengan majoriti masing-masing 3740 undi dan 1436 undi.

Bermakna, untuk membolehkan Zahid Hamidi menunaikan janjinya itu, pengundi Tanah Merah perlu memberi kemenangan sehingga 9000 undi bagi kerusi Parlimen serta ketiga-tiga kerusi DUN, termasuk dua yang sedang dimiliki oleh Pas, mesti jatuh ke tangan BN.

Jika sasaran itu gagal dicapai, maka ia tidak akan ditunaikan sama sekali.

Ini janji betul-betul atau sekadar janji main-main?

Mengapa janji pembinaan IPD mesti dikaitkan dengan kemenangan BN terlebih dahulu di kawasan itu?

Bukankah sekarang ini BN sedang menguasai pentadbiran negara dan pembinaan IPD boleh diluluskan tanpa perlu menunggu selepas keputusan pilihanraya diumumkan?

Apa kena mengena kemudahan untuk pasukan polis dengan kemenangan dalam pilihanraya?

Apakah jika kawasan Tanah Merah terus membangun dan penduduknya sentiasa bertambah, tetapi oleh kerana kemenangan tidak berpihak kepada BN, maka IPD tidak akan dibina sampai bila-bila?

Apakah jenis pemimpin seperti Zahid Hamidi ini yang sanggup meletakkan syarat yang rasanya mereka di negara Afrika pun tidak sampai hati melakukannya?

Cisss….

>> Komenter bebas Shahbudin Husin, penganalisa isu semasa I 17 Mac 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *