Amanah dapat 9 kerusi di Selangor, mahu 3 lagi, kata Izham Hashim

KUALA LUMPUR: Amanah Selangor setakat ini sudah memperoleh 9 kerusi dalam rundingan agihan kerusi DUN Selangor dan mahu mendapatkan 3 kerusi lagi, iaitu Seri Serdang, Lembah Jaya dan Sungai Burong.

Pada pilihan raya umum 2013, kerusi Seri Serdang dan Lembah Jaya dimenangi PAS dengan majoriti 16,251 undi dan 8,713 undi, manakala Sungai Burong dimenangi Umno dengan 3,013 undi.

“9 kerusi dah selamat, kita berusaha dapatkan 3 kerusi lagi,” kata Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim, menjangkakan rundingan agihan kerusi akan selesai selewat-lewatnya minggu depan.

Sembilan kerusi itu ialah dua kerusi Amanah sedia ada iaitu Hulu Kelang (majoriti 2,881 undi) dan Morib (766), 6 kerusi PAS iaitu Bangi (1,838), Chempaka (9,608), Meru (9,079), Taman Templer (7,467), Paya Jaras (5,522) dan Sabak (399), dan 1 kerusi Umno, Hulu Bernam (3,032).

Selangor mempunyai 56 kerusi DUN dan pada PRU13, PKR memenangi 14 kerusi, DAP (15) dan Amanah (2). Bilangan kerusi PKR dan DAP bagaimanapun berkurang 1 apabila Tan Sri Khalid Ibrahim dan Loh Chee Heng keluar parti.

Rundingan kerusi DUN Selangor sepatutnya diselesaikan pada hujung Januari lalu tetapi dilanjutkan atas permintaan PH Selangor kerana kegagalan mencapai kata sepakat antara 4 parti komponen.

Setakat ini, hanya tinggal 6 lagi kerusi dalam pertikaian. Media melaporkan punca pertembungan antara parti komponen di Selangor ialah PKR yang didakwa berhasrat untuk bertanding di 30 kerusi.

Sementara itu, Izham mendedahkan PPBM memperoleh 3 kerusi Umno iaitu Sungai Air Tawar (majoriti 1,416 undi), Batang Kali (5,398) dan Jeram (2,834), dan 4 kerusi PAS iaitu Gombak Setia (1,681 undi), Tanjong Sepat (682), Sijangkang (2,942) dan Selat Klang (2,754).

“PPBM pun minta lagi 2, 3 kerusi lagi,” katanya.

Pada 2 Mac lalu, Timbalan Presiden PH Mohamad Sabu menyatakan gabungan itu hampir menyelesaikan rundingan kerusi Parlimen dan DUN.

Presiden Amanah itu berkata rundingan kerusi Parlimen sudah diselesaikan kecuali di Sabah manakala bagi kerusi DUN hanya tinggal Selangor yang belum selesai.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *