Umno mati hujah sebar ‘kepercayaan karut’ takutkan Melayu kata Dr Aziz Bari

KUALA LUMPUR: Tokoh perundangan Dr Abdul Aziz Bari menempelak kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Asyraf Wajdi yang disifatkannya sebagai ‘mempercayai sesuatu yang karut dan tidak berasas’ apabila cuba menakut-nakutkan masyarakat Melayu terhadap Pakatan Harapan (HARAPAN).

Beliau menyanggah kenyataan Asyraf yang dilapor media mendakwa kononnya hanya Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara dan bukannya Pakatan Harapan kerana ‘diterajui’ DAP.

Menurut Aziz, kebimbangan dan ketakutan yang disuarakan itu adalah kebiasaan bagi pemimpin UMNO.

“Ini adalah dakwaan tidak berasas UMNO yang sudah kematian hujah dan hanya mampu menimbulkan hal-hal karut dan tidak benar.

“Mereka berfikiran begitu kerana selama ini UMNO membolot isu Islam sehingga mengenepikan kedudukan Raja-Raja (sesuatu yang HARAPAN akan pulihkan).

“Dengan kata lain kerangka yang mereka dakwa akan musnah itu adalah kerangka yang salah dan tidak mengikut perlembagaan,” jelas Ahli Jawatankuasa DAP Selangor itu ketika dihubungi Roketkini.

Beliau menjelaskan, kedudukan Raja dan Islam sebagai Agama Persekutuan tidak akan dipinggirkan dan telah terbukti di Selangor dan Pulau Pinang.

“Dengan kata lain tidak ada monopoli atau merampas kuasa Raja dalam soal Islam seperti yang didakwa,” jelasnya.

Dakwaan Timbalan Menteri itu juga katanya lagi adalah contoh ‘fake news’ yang ditiupkan oleh seorang ahli pentadbiran Najib Razak.

Tindakan UMNO menakut-nakutkan masyarakat Melayu terhadap DAP dengan dakwaan kononnya menguasai HARAPAN termasuk dakwaan mahu menjadi Perdana Menteri bukanlah perkara baru.

Lebih menghairankan, tuduhan tersebut bercanggah pula dengan dakwaan sekutu rapatnya apabila Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dilapor media berkata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad telah menguasai Pakatan Harapan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *