Rafizi Ramli mohon maaf kerana sering kritik BN, umum tak bertanding PRU14

KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli memohon maaf secara terbuka di Dewan Rakyat semalam kerana mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak beliau menjadi wakil rakyat pada 2013.

Ahli Parlimen Pandan itu berbuat demikian ketika membahaskan ucapan Yang di-Pertuan Agong kerana beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-14, selepas hilang kelayakan akibat sabitan bersalah dalam kes National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), bulan lalu.

“Ini adalah ucapan terakhir saya memandangkan saya tidak bertanding dalam PRU akan datang. Saya nak ucap terima kasih kepada yang dipertua Dewan Rakyat, timbalan yang dipertua kerana selalu beri ruang kepada saya untuk berhujah.

“Saya ingin meminta maaf sekiranya kritikan saya pedas kepada kerajaan sejak 5 tahun lepas dalam dewan, ada yang melukakan hati ahli dewan sebelah sana (BN).

“Saya tidak pernah rasa benci dengan sahabat di sebelah sana, Kinabatangan (Datuk Bung Moktar Radin) tidak ada, Lenggong (Datuk Shamsul Anuar Nasarah) tak ada hari ini, Tenggara (Datuk Halimah Mohd Sadique), walaupun Tanjong Karang (Tan Sri Noh Omar) kadang-kadang kritik saya dengan keras, sebenarnya kita baik di luar dewan.”

Naib Presiden PKR itu berkata, beliau sekadar menjalankan amanah diberikan rakyat ketika mengkritik pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Kritikan saya adalah amanah yang dipikul sebab sebagai wakil rakyat, kita makan gaji, jadi tanggungjawab wakil rakyat pembangkang ialah memastikan kerajaan memegang amanah dengan sebaiknya yang diberi rakyat.

“Oleh itu, saya tidak boleh lari dari membawa perkara yang berkait rapat dengan rakyat, apatah lagi ini ucapan terakhir saya.

“Walaupun saya bersimpati dengan beban dan serangan kepada YB Pekan (Najib), itu tidak akan mengurangkan teguran saya pada beliau, walaupun ini ucapan terakhir kerana kerajaan masih lagi berdepan rakyat yang semakin tinggi menanggung beban,” katanya.

Pada 2 Februari lalu, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan kepada Rafizi atas kesalahan mendedahkan penyata akaun bank anak syarikat NFC dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, pada 2012.

Rafizi dan bekas kerani bank, Johari Mohamad didapati bersalah di bawah Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia) kerana mendedahkan penyata akaun NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Salleh.

Hakim Mahkamah Sesyen membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu Rafizi memfailkan rayuan.

Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seorang wakill rakyat hilang kelayakan selama 5 tahun, jika dia sabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000.

Rafizi memenangi kerusi Parlimen Pandan pada PRU 2013, selepas mengalahkan calon MCA, Lim Chin Yee dengan majoriti 26,729 undi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *