Wan Azizah gesa MP Swiss sokong usul pulangkan RM430 juta dana 1MDB

KUALA LUMPUR: Selain Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga menulis surat kepada anggota parlimen Switzerland agar menyokong usul menggesa kerajaan negara itu memulangkan wang berkaitan 1MDB yang dirampas kepada Malaysia.

“Saya telah menulis kepada semua 200 anggota parlimen Switzerland bagi mempertimbangkan hasrat agar pemulangan dana disempurnakan menerusi prosedur guaman bersama kepada kerajaan Malaysia yang kompeten, tidak tercemar dengan rasuah dan kleptokrasi.

“Saya berharap usul itu mendapat sokongan anggota parlimen Switzerland,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada mulanya Switzerland berhasrat untuk menuntut sejumlah CHF95 million (RM400 million) yang dirampas daripada beberapa bank kerana mempunyai kaitan dengan 1MDB, berdasarkan undang-undang negara itu.

Namun anggota parlimen daripada Parti Sosial Demokrat Carlo Sommaruga (gambar) membentangkan usul agar kerajaan negara itu mengembalikan sekurang-kurangnya sebahagian daripada wang itu kepada negara asalnya.

Usul itu mendapat sokongan daripada 26 anggota parlimen daripada kerajaan dan juga pembangkang dan akan dibahaskan pada 15 Mac ini.

Dalam kenyataan 11 Mac lalu, Lim berkata pemulangan kembali wang meragukan di luar negara kepada negara asalnya adalah prinsip yang diterima di peringkat antarabangsa, menurut Perkara 35 Konvensyen PBB Menentang Korupsi yang ditandatangani Malaysia.

Namun beliau berkata pemulangan dana berkaitan 1MDB tidak seharusnya dibuat secara terus kepada kerajaan Malaysia yang didakwanya terlibat secara langsung dalam skandal itu.

“Ia harus disimpan sebagai amanah untuk manfaat rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Setakat ini 1MDB tidak pernah memperakui ada dananya yang telah dilesapkan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *