Najib Razak yang buat hutang negara meningkat, bukan Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan tuduhan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa manifesto pilihan raya Pakatan Harapan akan menyebabkan hutang negara melonjak.

Pengerusi PH berkata antara sasaran utama manifesto Pakatan Harapan ialah mengurangkan jumlah hutang negara yang didakwa bertambah selepas Najib menggalas tugas perdana menteri pada 2009, lapor FMT.

“Yang naikkan jumlah hutang ini ialah di masa Najib menjadi perdana menteri. Apa asas kata-kata dia? Adakah kami telah menunjukkkan bahawa dulu bila kami dalam kerajaan maka kerajaan mempunyai hutang yang banyak?

“Dia pandai…nak buat kereta api dengan hutang walaupun kereta api tidak laku. Kalau kereta api harganya cuma RM30 bilion, hutangnya sebanyak RM50 bilion,” katanya pada sidang media Majlis Presiden PH di pejabat ketua pembangkang di Parlimen semalam.

Pada 11 Mac lepas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dilaporkan berkata hutang negara sekarang ini sebanyak RM686 bilion bersamaan kira-kira 50% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Najib berkata hutang negara akan bertambah RM416 bilion jika PH melaksanakan manifesto pilihan raya mereka, yang menjanjikan GST dan tol dimansuhkan sekiranya diberi mandat untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Perdana menteri berkata kerajaan akan kehilangan hasil sebanyak RM383 bilion jika GST dan tol dimansuhkan.

Irwan juga memberi amaran rancangan memansuhkan GST, tol, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan duti eksais boleh menyebabkan hutang negara melonjak kepada 78%, melebihi had yang dibenarkan iaitu 55% daripada KDNK.

Dr Mahathir percaya manifesto PH yang dituduh populis itu mampu dilaksanakan.

“Mereka boleh pertikai tetapi kami yakin kami boleh. Kita tengok lah…bagi kami kemenangan dahulu, tengoklah sama ada kami boleh buat atau tidak,” katanya.

Pada masa sama, Dr Mahathir turut mengkritik manifesto PAS yang dikatakan mesra kepada bukan Islam.

“Dia tidak boleh. Dia berpegang kepada prinsip kalau bercampur dengan orang bukan Islam, ia akan jadi ‘kafir’,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata manifesto itu mahu menarik sokongan pengundi bukan Islam kepada gabungan Gagasan Sejahtera yang diterajui PAS.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *