DOJ mahu mahkamah tak dedah laporan status terkini siasatan 1MDB

KUALA LUMPUR: Jabatan Kehakiman (DOJ) ingin menyalurkan maklumat terkini mengenai kes berkaitan 1MDB ke mahkamah Amerika Syarikat, namun usaha itu cuba dilakukan secara tertutup.

Berdasarkan dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini, permohonan berkenaan difailkan di mahkamah kelmarin. DOJ juga memohon supaya laporan mengenai status siasatan pada masa depan difailkan secara sulit dan tertutup.

“Serentak dengan serahan laporan status ini kerajaan mengemukakan permohonan untuk memfailkan – secara sulit dan tertutup – pengisytiharan lebih terperinci dan laporan status.

“Sebarang laporan lanjut mengenai status akan dibuat berdasarkan fakta yang dinyatakan dalam cadangan sulit dan tertutup seperti yang dirujuk di sini, dan kerajaan akan meminta supaya laporan status masa depan juga difailkan di bawah kaedah sama,” kata satu daripada dokumen yang dikemukakan ke Mahkamah Daerah California Tengah itu.

Ia juga menyatakan kerajaan AS akan terus – dari semasa ke semasa, seperti arahan pada 13 Sept 2017 – dan menghormati perintah terdahulu yang mengekalkan semua prosising berteruskan sehingga ia diputuskan sebaliknya oleh mahkamah.

Permohonan yang hampir sama pernah difailkan untuk semua 13 saman pelucuthakan yang berkaitan dengan arahan berkenaan.

Laporan status disebut dalam permohonan tidak dapat diketahui melalui akses umum pada sistem rekod elektronik mahkamah.

Pada 13 Sept tahun lalu hakim Mahkamah Daerah California Tengah Dale S Fischer membenarkan penangguhan terhadap saman pelucuthakan DOJ ke atas aset didakwa berkaitan dengan 1MDB.

DOJ memohon penangguhan dua minggu lebih awal kerana bimbang butiran yang didedahkan semasa perbicaraan boleh merosakan siasatan jenayah yang sedang dijalankan.

Agensi itu mendakwa siasatan bermula sejak 2016, iaitu sebelum saman pelucuthakan dikemukakan.

Ejen Biro Siasatan Persekutuan Jill Enyart ketika itu berkata pendedahan butiran laporan berkenaan boleh menyebabkan bahan bukti terjejas, subjek atau sasaran melarikan diri, selain potensi saksi berdepan risiko dikenali atau diganggu.

Bagaimanapun sebagai syarat penangguhan itu mahkamah mengarahkan DOJ menyerahkan laporan perkembangan terkini siasatan mereka setiap 180 hari.

Dengan melihat kepada arahan berkenaan dikeluarkan, tarikh akhir untuk DOJ membuat laporan pertama ialah semalam.

Laporan terkini itu disediakan bagi mahkamah menilai sama ada arahan penangguhan perlu diteruskan atau dibatalkan.

Saman pelucutan sivil adalah sebahagian daripada inisiatif AS untuk merampas aset yang didakwa DOJ diperoleh melalui penyelewengan dana 1MDB dan digubah melalui sistm kewangan negara terbabit.

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia dan 1MDB secara konsisten menafikan bahawa ada wang yang hilang.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *