Tiada sesiapa yang terpinggir dalam Manifesto Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR: ‘Buku HARAPAN’ yang menawarkan 60 janji dan iltizam bakal kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) merupakan manifesto terlengkap gabungan oposisi negara ini melibatkan seluruh segmen masyarakat tanpa mengira latar belakang kedudukan ekonomi, suku kaum dan budaya.

Dengan tema “Membina Negara, Memenuhi Harapan”, manifesto yang dilancarkan Khamis lalu di Shah Alam akan memberi manfaat dan nilai tambah kepada pendapatan serta perbelanjaan rakyat negara ini.

Manifesto ini turut memberi tumpuan khas kepada pemerkasaan kumpulan masyarakat yang telah lama terpinggir seperti golongan B40, Orang Asli, ekonomi kaum India, warga eneroka FELDA, graduan menganggur, suri rumah dan sebagainya.

Kesungguhan HARAPAN menyelesaikan beban ekonomi dan poket rakyat jelas dapat dilihat melalui 10 janji yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan HARAPAN.

Secara ringkas, 10 janji tersebut ialah menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), subsidi petrol bersasar, hapus hutang peneroka Felda, KWSP untuk suri rumah, menyamaratakan gaji minimum, menangguhkan bayaran PTPTN, menyiasat skandal, mengembalikan status Sabah dan Sarawak, Skim Peduli Sihat dan kaji semula projek mega.

Bagi merealisasikan iltizam ini, Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata seluruh parti komponen HARAPAN perlulah bekerjasama dan mengeratkan perpaduan di kalangan parti.

“Cuba ketepikan kepentingan lain dan utamakan kemenangan untuk jatuhkan Najib,” kata bakal Perdana Menteri itu.

Selain Mahathir, pemimpin utama yang turut berucap ialah Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin serta ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

Berikut adalah 10 perkara yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari HARAPAN mengambil alih pentadbiran:

Menghapuskan GST dan mengambil langkah mengurangkan kos sara hidup.
Perkenal semula subsidi minyak bersasar bagi menstabilkan semula harga petrol.

1. Menghapuskan hutang peneroka Felda.

2. Memperkenalkan KWSP untuk suri rumah.

3. Sama rata dan tingkatkan kadar gaji minima di seluruh negara.

4. Mengurangkan beban PTPTN. Melaksanakan penanguhan pembayaran individu berpendapatan bawah RM4,000 dan menghapuskan dasar senarai hitam.

5. Menyelesaikan skandal utama. Membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja membabitkan skandal 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji. Reformasi organisasi kerajaan.

6. Menghormati hak Sabah dan Sarawak. Mewujudkan jawatankuasa khas bagi mempercepatkan perbincangan mengenai Perjanjian Malaysia 1963.

7. Skim Peduli Sihat, dana sehingga RM500 bagi golongan B40 untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta.

8. Semak semula kelulusan projek mega. Wujudkan semakan semula projek yang diberi kepada negara asing.

Buku HARAPAN ini boleh dibaca dan dimuat turun melalui pautan http://pakatanharapan.com.my/ .

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *