Peserta FELCRA rugi RM600 juta setahun akibat urus niaga haram?

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim mendedahkan kemungkinan wujudnya urus niaga haram FELCRA dengan pihak ketiga sehingga menyebabkan kerugian kepada peserta.

FELCRA didakwa telah melanggar peraturan menjual sawit dengan kadar perahan minyak sawit (OER) yang jauh lebih rendah daripada kadar minima yang ditetapkan oleh undang-undang.

Dua set invois jualan kelapa sawit FELCRA kepada pihak ketiga pada tahun 2015 dan 2017 yang diterimanya menunjukkan kadar OER yang digunapakai ialah 14.5% dan 14%.

Ini jelasnya bercanggah dengan Manual Penggredan Buah Kelapa Sawit MPOB (Edisi Ketiga – 2015) iaitu 18% manakala bagi Sabah dan Sarawak pula ialah 18.5%.

“Kiraan kasar saya menunjukkan bahawa, jika FELCRA menggunakan OER dan KER (Kadar perahan isirung) yang rendah tersebut, dan kita bandingkan dengan menggunapakai OER dan KER minima sekalipun, kerugian kepada peserta FELCRA adalah sebanyak RM150 setiap tan.

“Saya dimaklumkan bukan semua ladang menjual dengan OER dan KER begitu rendah, namun, peserta mengadu bahawa FELCRA sering menjual buah sawit tanpa mengikut OER dan KER yang ditetapkan oleh undang-undang lalu menyebabkan para peserta mengalami kerugian besar,” katanya dalam satu kenyataan.

Merujuk kepada Laporan Tahunan FELCRA pada tahun 2013, tanah peserta FELCRA di seluruh negara seluas 208, 657 hektar.

Berdasarkan laporan MPOB, purata pengeluaran bagi tahun 2013 ialah 19.02 tan/hektar setahun dan bersamaan dengan penghasilan lebih kurang 4 juta tan buah sawit bagi tahun 2013.

“Jika setiap tan rugi RM150, maka bagi 4 juta tan, kerugian kepada para peserta FELCRA akan mencecah RM600 juta bagi tahun itu,” katanya.

Nasib peserta FELCRA dan FELDA

Kata Steven, situasi ini menyebabkan peserta FELCRA mengalami nasib seperti peneroka FELDA yang pernah mengemukakan saman melibatkan penipuan kadar perahan minyak.

Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2010 justeru telah memerintah FELDA supaya membayar RM11 juta kepada peneroka di Kemahang atas penipuan kadar perahan yang lebih rendah.

Pada April 2012 pula, seramai 957 peneroka dari sepuluh tanah FELDA di Pahang juga turut menyaman atas dakwaan penipuan kadar perahan.

Sehubungan itu, Steven mahu supaya sebuah Jawatankuasa terpilih khas Parlimen ditubuhkan bagi menyiasat kerugian yang dijangka mencecah RM600 juta peserta FELCRA.

“Saya ingin mengajukan dua soalan kepada pihak kerajaan. Pertama, mengapa FELCRA telah menjual sawit tanpa mengikut harga yang ditetapkan oleh undang-undang melalui kaedah OER dalam Manual Penggredan Buah Kelapa Sawit MPOB?

“Kedua, adakah berlaku unsur rasuah dan salahguna kuasa di mana, pihak ketiga yang menjadi orang tengah mengaut keuntungan haram menyebabkan kerugian mencecah RM600 juta setahun kepada peserta FELCRA?

“Akhir sekali, saya menggesa kerajaan menubuhkan suatu jawatankuasa terpilih khas Parlimen untuk menyiasat isu penipuan OER dan KER bagi kedua-dua FELDA dan FELCRA memandangkan sudah berkali-kali berlaku pekara ini sehingga ada keputusan mahkamah yang mengesahkan salahlaku tersebut,” katanya lagi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *