Pertubuhan pemantau antarabangsa desak UK bertegas dalam isu 1MDB

KUALA LUMPUR: Pertubuhan pemantau antarabangsa, Global Witness, mendesak pihak berkuasa kewangan United Kingdom untuk mengambil tindakan lebih keras dalam isu 1MDB.

Laporan Financial Times menyebut, secara khusus Global Witness mahu Lembaga Kawalan Kewangan (FCA) menyiasat dua institusi kewangan berpangkalan di UK kerana menguruskan dana bernilai lebih AS$2 bilion (RM7.82 bilion) yang didakwa diambil dari 1MDB, lapor Malaysiakini.

Institusi kewangan yang dimaksudkan ialah Royal Bank of Scotland dan Standard Chartered.

Kedua-dua bank berkenaan sudah didenda oleh pihak berkuasa Switzerland dan Singapura dalam kes yang ada kaitan dengan syarikat pelaburan milik kerajaan Malaysia itu.

Pihak berkuasa AS pula masih meneruskan siasatan ke atas entiti berkenaan.

“Hanya kerana pihak berkuasa asing sudah menjalankan siasatan, ia tidak menyebabkan FCA terlepas daripada tanggungjawab,” kata jurukempen kanan Global Witness mengenai bank dan rasuah Murray Worthy.

Dalam laporan setebal 26 halaman yang ditulis Worthy mengenai 1MDB, dia menyatakan wujud “kegagalan ketara” bank-bank yang berkenaan kerana mengabaikan “peraturan, tidak mengendahkan, mengekalkan pelanggan yang menguntungkan dan terus mengendalikan berbilion ringgit wang kotor walaupun wujud kebimbangan yang jelas”

Menurut Financial Times, pihak berkuasa di UK mungkin tidak akan menyiasat institusi British atas dakwaan salah laku jika tiada aset atau pelanggan negara itu terbabit.

“Dalam kes ini selalunya ia bergantung kepada pihak berkuasa asing untuk melaksanakan penguatkuasaan dan disusuli tindakan penyeliaan untuk menyelesaikan masalah di mana perlu,” kata laporan itu.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas laporan Financial Times berkenaan.

Sementara itu seorang anggota parlimen yang mewakili Parti Buruh dan aktivis antirasuah, Margaret Hodge, turut senada dengan Global Witness.

“Sudah sampai masa untuk FCA mengambil tidakan tegas mempertanggungjawabkan bank-bank yang mengendalikan wang kotor dan meminta penjelasan terhadap tindakan mereka yang tidak jelas mengenai kes ini ketika negara-negara lain menyelesaikan siasatan mereka setahun lalu,” kata Margaret.

Jabatan Kehakiman AS percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM17.6 bilion) dana diselewengkan dari 1MDB dan digubah melalui sistem kewangan negara berkenaan untuk memperoleh pelbagai aset.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *