Pakatan Harapan perlu parti Melayu untuk tawan Putrajaya

KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata barisan pembangkang gagal memenangi sokongan majoriti pengundi Melayu di luar bandar.

Dalam keadaan begitu katanya sukar untuk Pakatan Harapan (HARAPAN) memberikan cabaran sebenar kepada BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Keadaan itu menurut beliau dapat disaksikan pada PRU lalu apabila pembangkang memperoleh 52 peratus undi popular namun masih gagal menawan Putrajaya.

Justeru kata bekas perdana menteri itu BERSATU boleh menyediakan sesuatu yang pernah gagal dimiliki pembangkang sebelum ini.

“Entah mengapa orang yang begini – yang berada di luar bandar – mereka takut kepada parti berbilang kaum.

“Jadi kami sebagai parti Melayu lebih cenderung diterima oleh penyokong dan anggota Umno yang berada di kawasan luar bandar.

“Jadi mereka (HARAPAN) memerlukan penyertaan BERSATU untuk mendapatkan kerusi mencukupi,” katanya dalam temu bual dengan Sin Chew Daily.

HARAPAN sebelum ini dianggotai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dengan masing-masing membawa imej tersendiri.

Walaupun majoriti anggotanya adalah orang Melayu, PKR tetap sebuah parti berbilang kaum. DAP pula didominasi masyarakat Cina walaupun ada usaha menambah keanggotaan orang Melayu. AMANAH pula adalah parti yang lahir daripada krisis dalaman PAS.

Sebelum ini Pakatan Rakyat – yang turut disertai PAS – cuma memperoleh 89 kerusi – atau 40 peratus – di Dewan Rakyat walaupun 52 peratus daripada jumlah keseluruhan undi yang dibuang memihak kepada mereka.

Pembangkang hanya memerlukan tambahan 20 hingga 30 kerusi parlimen untuk mengetepikan BN dari Putrajaya pada PRU akan datang yang mesti diadakan selewat-lewatnya Ogos ini.

Melalui penyertaan BERSATU, katanya, gabungan berkenaan yakin mampu menguasai Putrajaya.

“Kami rasa kami mampu memberikan itu (kerusi tambahan). Kami (BERSATU) hanya akan menentang Umno,” katanya.

Secara keseluruhan kata calon perdana menteri HARAPAN itu beliau yakin peluang untuk membentuk kerajaan baru adalah cerah dan mereka boleh memenangi lebih 100 kerusi di Semenanjung Malaysia.

“Jika kami mendapat sokongan dari Sabah dan Sarawak, dan ramai mereka menyokong kami, saya fikir kita boleh membentuk kerajaan,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *