Terengganu kaya hasil minyak, mengapa ramai kanak-kanak terbantut?

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin Amanah meminta kerajaan Terengganu menjelaskan tumbesaran terbantut yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak di negeri itu walaupun ia kaya dengan hasil minyak.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Bahrin Shah merujuk kepada laporan Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef) baru-baru ini yang melaporkan 26% kanak-kanak bawah 5 tahun mengalami tumbesaran terbantut di Terengganu.

“Jumlah itu ke-2 tertinggi selepas Kelantan,” kata pemimpin Amanah itu pada sidang akhbar di pusat media Parlimen.

Katanya, perkara ini mengejutkan kerana Terengganu menerima bajet RM2 bilion setiap tahun untuk 1 juta penduduk berbanding Selangor yang mempunyai bajet lebih rendah iaitu RM1.6 bilion untuk 5 juta penduduk.

“Ke mana perginya kekayaan Terengganu sehingga rakyat sendiri tak mampu memberikan makanan berkhasiat pada anak-anak?” soalnya.

Ini menunjukkan pengurusan kewangan di negeri itu tidak diurus dengan baik, katanya.

Beliau terkejut walaupun Terengganu negeri pengeluar minyak, ia kekal antara 4 negeri termiskin di Malaysia. Tiga negeri yang lain adalah Kelantan, Sabah dan Sarawak, tambahnya.

Beliau juga membangkitkan topik kadar kejayaan belia di negeri itu.

Raja Bahrin berkata sejak 30 tahun lalu, Terengganu antara negeri paling cemerlang dalam peperiksaan awam seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bagaimanapun, beliau jarang mendengar kisah kejayaan pelajar-pelajar ini selepas itu.

“Ke mana pelajar-pelajar ini pergi selepas tamat pelajaran? Ia menunjukkan kerajaan negeri gagal menambah baik kualiti hidup generasi muda di Terengganu.”

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *