Undang-undang bermula di Dewan Rakyat, Tawfik gesa sekat usul MP Marang

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Tawfik Ismail yang mahu menghalang pembentangan rang undang-undang syariah daripada PAS memberi amaran perkara berkenaan agama bawah bidang kuasa raja-raja Melayu, oleh itu penyenaraian RUU itu dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat bertentangan dengan kedaulatan undang-undang.

“Kedaulatan undang-undang bermula di Dewan Rakyat,” kata Tawfik, anak kepada Tun Ismail Abdul Rahman yang berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri pada 1970-an.

Tawfik menamakan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah sebagai defendan dalam usaha beliau memohon perintah mahkamah menghalang pembentangan RUU untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355.

Pindaan yang dicadangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu memberikan lebih banyak kuasa kepada mahkamah syariah dan meningkatkan hukuman ke atas pelaku kesalahan syariah.

Pada 22 Februari, Tawfik mendapat keputusan awal yang memihak kepadanya apabila Mahkamah Tinggi menolak cubaan Pandikar membuang saman itu.

Sejak itu Tawfik mengingatkan supaya tidak membahaskan RUU itu di Parlimen, dan menggesa peguam negara menasihatkan Pandikar bahawa penyenaraian RUU itu dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat boleh menyebabkan subjudis.

“Adalah tidak berparlimen, amat tidak wajar, dan bertentangan dengan kedaulatan undang-undang jika Dewan Rakyat membahaskan titah ucapan Agong…ketika usul Hadi meminda RUU 355 merenung anda semua dari dalam Aturan Urusan Mesyuarat, mengingkari keputusan Mahkamah Tinggi, menggunakan undang-undang yang diluluskan di dewan mulia ini, dan terang-terangan menyalahi Perlembagaan Persekutuan,” katanya semalam.

Tawfik berkata penyenaraian usul Hadi dalam Aturan Urusan Mesyuarat juga menyalahi keputusan speaker sebelum ini yang menghalang perkara di mahkamah dibincangkan di Dewan Rakyat, termasuk mahkamah negara asing.

Beliau berkata Pandikar “harus mengamalkan standard yang sama dalam perkara yang sedang didengari di mahkamah kita sendiri.”

“Pilihan raya akan tiba tidak lama lagi, anggota-anggota Dewan Rakyat mesti bersatu dan patuhi undang-undang yang anda sendiri luluskan, tunjukkan kesungguhan sumpah anda kepada negara yang berikan anda semua tanggungjawab mempertahankan, menegakkan dan melindungi hak-hak perlembagaan, dan tuntut RUU itu ditarik balik daripada Aturan Urusan Mesyuarat dengan segera,” kata Tawfik.

Beiau mengingatkan Ahli-Ahli Parlimen akan sumpah jawatan mereka iaitu untuk “memelihara, melindungi dan mempertahankan” Perlembagaan.

“Keengganan berbuat demikian tentunya menghina Agong dan hakim-hakim baginda, secara terang-terangan mengingkari dan menyalahi Perlembagaan Persekutuan, dan kepercayaan yang rakyat negara ini berikan pada anda semua, perkara kecil yang boleh menimbulkan bantahan lalu membuka pintu dengan lebih luas kepada kehakisan Perlembagaan kita yang mudah terjejas.”

Usul Hadi mahu meningkatkan hukuman maksimum ke atas pelaku kesalahan syariah daripada hukuman penjara 3 tahun kepada 30 tahun, mengenakan denda sehingga RM100,000 dan 100 sebatan rotan.

Tawfik dalam samannya terhadap Pandikar berkata usul Hadi tidak mematuhi syarat-syarat Aturan Urusan Mesyuarat di Dewan Rakyat dan melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kesamaan untuk semua rakyat.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *