Muflis, Equanimity, banyak berita palsu dari pembangkang dakwa Bung Mokhtar

KUALA LUMPUR: Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata banyak berita palsu dan tidak tepat seperti dakwaan negara akan muflis atau tentang kapal mewah “Equanimity” daripada pembangkang.

Beliau mendakwa mereka menghasut rakyat, berbohong dan berceramah siang dan malam untuk menyebarkan berita palsu dan tidak tepat.

“Buat sementara waktu ini belum ada akta ini biarlah mereka menyebar berita-berita palsu sebab saya percaya rakyat di luar sana tidak akan termakan dengan hasutan palsu mereka,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong.

Beliau nampaknya amat tidak berpuas hati dengan dakwaan negara akan muflis dan berkata pembangkang tidak tahu membezakan hutang luar negara dengan hutang kerajaan dan sekarang menyedari kesilapan itu.

“Mereka campur aduk dan pada hari ini dihentikan sebab ini penyebaran berita palsu,” katanya.

Bung kemudian memetik data perbelanjaan rakyat di luar negara pada 2017 untuk mengatakan ekonomi negara dalam keadaan baik.

“Rakyat yang keluar negara pada 2017 berbelanja hampir RM46 bilion pada 2017. Bukan semuanya orang-orang kaya, termasuk pembangkang dikira juga. (Ahli Parlimen) Batu pergi ke Singapura setiap minggu. Apa masalah?” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata perbelanjaan rakyat di luar negara pada 2016 juga mencecah RM46 bilion, meningkat daripada RM41 bilion pada 2015.

Tian Chua (PKR-Batu) bangun dan berkata beliau boleh menerima hujah wakil rakyat BN itu memandangkan ada rakyat yang mampu memiliki kapal mewah.

“Terkenal di seluruh dunia bahawa negara kita maju dan orang kaya yang boleh miliki kapal layar. Rasa Tan Sri Robert Kuok pun tak mampu. Kebanggaan rakyat kerana mempunyai tokoh yang mempunyai kapal layar.”

Bung bagaimanapun menganggap wakil rakyat PKR itu merujuk kepada kes sitaan kapal mewah “Equanimity” di Bali baru-baru ini.

“Ini contoh pembangkang suka menyebar berita palsu. Mana ada mahkamah sahkan kapal ini milik rakyat…mana?” soalnya.

Minggu lalu, pihak berkuasa Indonesia menyita “Equanimity” atas permintaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dalam siasatan ke atas 1MDB yang dilancarkan pada 2016.

DoJ dilaporkan menggunakan akta pelucuthakan sivil untuk mengesahkan penyitaan kapal mewah yang didakwa milik ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *