Menyingkap garis politik, makanan orang miskin dan makanan orang kaya

Agak lucu bila tokoh pembangkang, Lim Kit Siang, yang selama ini merupakan jaguh pendedahan skandal besar negara seperti BMF, penswastaan, kerugian Bank Negara, kini menyerang makanan asli pergunungan Andes, quinoa.

Yang agak pelik, dia ingin menjadikan nasi lawan quinoa sebagai garis pertembungan politik menjelang PRU14, bukan 1MDB, FGV, wang Arab Saudi ataupun ECRL.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengaku makanan utamanya ialah quinoa, yang katanya, lebih sihat daripada nasi kerana kandungan karbohidrat dan gulanya kurang daripada beras.

Sebenarnya, untuk 100g nasi, jumlah kalorinya ialah 130, sedangkan 100g quinoa yang dimasak mengandungi 120 kalori, hanya berbeza 10 kalori sahaja.

Pada 2013, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) pernah mempromosikan quinoa sebagai makanan ruji yang dipinggirkan syarikat makanan gergasi. Tetapi di Malaysia, harga quinoa berpuluh kali ganda lebih mahal daripada beras untuk berat yang sama.

Mengapa harga quinoa di Malaysia mahal? Lesen import makanan terhad diboloti golongan terpilih yang dapat menentukan harga untuk mengaut keuntungan sebanyak mungkin.

Sama juga bahan makanan asas lain, misalnya, walaupun harga susu dunia menurun akibat lebihan pengeluaran, tetapi harganya terus meningkat di Malaysia. Harga bahan makanan asas import di Malaysia dikuasai kepentingan monopoli dan oligopoli.

Pada awal abad ke-20 dahulu, nenek moyang kita tidak makan seperti sekarang. Pada waktu itu, penyakit kekurangan zat makanan berleluasa. Malah, ramai penduduk berketurunan Cina yang memilih beras putih import dari Siam mengalami penyakit beri-beri akibat kekurangan vitamin B1.

Walaupun beras putih digunakan dengan meluas sekarang, zat makanan juga terdapat dalam pelbagai makanan lain yang dimakan bersama nasi.

Masalah utama makanan yang mencabar kita sekarang adalah penyakit berkaitan pemakanan yang kian meningkat. Malaysia merupakan negara paling gemuk (obes and terlebih berat badan) di benua Asia, dan kita juga mempunyai kadar diabetes (kencing manis) tertinggi.

Pengaruh syarikat gergasi makanan kian meningkat, sehingga menjadi kebiasaan ahli pemakanan menerima geran dan tajaannya, terutama untuk memperakukan makanan dan minuman jualan sarat gula.

Amat mengejutkan juga apabila menteri kesihatan sendiri tidak mahu kerajaan mengenakan peraturan terhadap makanan demi kesihatan rakyat.

Rakyat Malaysia hanya sedar penggunaan racun agrokimia dalam makanan kita berlebihan, apabila eksport sayuran Malaysia ditolak negara pengimpot.

Nama baik eksport makanan Malaysia juga tercabar, apabila Malaysia dijadikan pusat eksport semula makanan (misalnya udang dan madu) dari negara jiran untuk dieksport ke pasaran lain.

Laporan terbaru Unicef mengenai kanak-kanak pinggiran mendedahkan masalah kekurangan pemakanan, nutrien serta penyakit tidak berjangkit berkaitan pemakanan di perumahan awam Kuala Lumpur yang mengejutkan.

Selain kurang pendapatan dan kemampuan mendapatkan makanan berzat, terdapat kadar kurang pemakanan yang tinggi akibat amalan dan budaya, serta tiadanya peraturan untuk mengawal iklan palsu.

Makanan tidak cukup dan kurang sesuai untuk ibu dan bayi dalam “1,000 hari pertama” sejak janin tumbuh dalam rahim ibu boleh mencacatkan pembangunan fizikal dan mental kanak-kanak yang kekal sepanjang hayat.

Contohnya, ibu-ibu yang bekerja mengalami masalah menyusukan bayi mereka sepenuhnya selama 6 bulan seperti disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Seorang yang sihat dan panjang umur seperti Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengaku kesihatannya akibat gen diwarisinya.

Namun, disiplin pemakanannya tidak kurang juga sumbangannya, mungkin dipengaruhi Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang terkenal dengan usaha berterusannya untuk memajukan kesihatan awam.

Untuk menangani masalah pemakanan dan akibat pemakanan yang semakin ketara di tanah air kini, pimpinan negara harus peka dan berani mengambil langkah bagi mengatasi kepentingan politik dan perniagaan, demi rakyat dan masa depan masyarakat yang lebih sihat dan sejahtera.

>> Komentar bebas Wan Manan, pernah menjadi profesor pemakanan dan kesihatan awam di Universiti Sains Malaysia dan Jomo KS ialah bekas penolong ketua pengarah Pembangunan Ekonomi dan Sosial di Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Rom I 8 Mac 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *