Ketua Pembangkang cadang SPR tetapkan tempoh kempen 21 hari

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hari ini, mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen sekurang-kurangnya 21 hari dari hari penamaan calon diadakan.

Beliau berkata, sewajarnya masa mencukupi diberikan kepada semua calon dan parti yang bertanding untuk tujuan mendekati pengundi yang bertambah pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata demikian, berdasarkan Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, PRU mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen, amatlah tidak adil jika tempoh berkempen itu disingkatkan.

“Dengan peruntukan ini, tiada sebab SPR menetapkan tempoh berkempen dalam jangka waktu singkat.

“Bagi PRU-14, saya cadangkan SPR dapat mempertimbangkan untuk menetapkan sekurang-kurangnya 21 hari bagi kita berkempen untuk membolehkan calon dan parti mendekati pengundi yang semakin bertambah,” katanyanya.

Beliau hari ini membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Dewan Rakyat.

Wan Azizah yang juga Presiden PKR menjelaskan, tempoh berkempen pernah diadakan sehingga 35 hari pada PRU 1959, 1964 dan 1969, sebelum dikurangkan kepada 16 hari pada 1974.

Pada PRU 1982, tempoh berkempen disingkatkan kepada 15 hari, kemudiannya dikurangkan lagi kepada 10 hari pada PRU 1986, 1990 dan 1995.

“Tempoh berkempen turut dikurangkan kepada sembilan hari pada 1999 dan lapan hari pada 2004, yakni tempoh paling singkat dalam sejarah PRU.

“Tempoh berkempen kembali kepada 13 hari pada 2008 dan bertambah kepada 15 hari pada PRU-13,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *