Hanya 107 kes didaftarkan jenayah kanak-kanak, Rohani perlu mohon maaf

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat digesa menyediakan laporan tahunan mengenai kemajuan dan keberkesanan polisi dalam Daftar Kanak-kanak (DKK) yang dikuatkuasakan di bawah Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016.

Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen berkata, menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim juga perlu meminta maaf kepada keluarga mangsa kepada jenayah kanak-kanak di negara ini, lapor Malaysia Dateline.

“Selepas setahun DKK itu dilaksanakan saya agak terkejut kerana kementerian hanya menyenaraikan 107 kes bagi kesalahan jenayah membabitkan kanak-kanak sedangkan dilaporkan sejak 2010 sehingga Mei 2017 sebanyak 22,135 penderaan seks kanak-kanak telah dilaporkan.

“Ini termasuk 13,272 dirogol dan baki 8,863 adalah kesalahan lain yang tidak terhad kepada pencabulan, sumbang laku dan seks yang tidak normal (luar tabie) membabitkan perlakuan orang dewasa terhadap kanak-kanak.

“Selepas setahun Daftar Kanak-kanak (DKK) ditubuhkan apa yang mereka buat?Sedangkan jika dikira setahun terdapat 2,500 kes dilaporkan, jumlah itu tidak termasuk kes yang tidak dilaporkan,” ujarnya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau mengulas jawaban lisan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun yang berkata pengumpulan maklumat bagi DKK selaras dengan penguatkuasaan pindaan Akta Kanak-kanak 2001 pada 1 Januari 2017.

Menurut Chen lagi, Rohani perlu mengambil tangungjawab penuh kecelaruan ini dan perlu memohon maaf kepada keluarga mangsa kerana tidak prihatin terhadap keselamatan kanak-kanak.

“Saya menyeru kepada menteri untuk meningkatkan dan menggandakan usaha mereka. Menteri harus memenuhi tugas asasnya untuk melindungi kebajikan anak-anak kita.

“Ini kerana saya juga ada dua anak kecil dan saya juga bimbang tentang keselamatan anak saya dan kanak-kanak lain di negara ini,” ujarnya.

Sebelum itu Wong Chen bertanyakan bilakah kementerian akan menguatkuasakan Daftar Kanak-kanak dan apakah kriterianya dan jika senarai tersebut diumumkan kepada orang ramai adakah pesalah akan dikategorikan mengikut jenis kesalahan masing-masing.

Kata Azizah (Beaufort-BN) di bawah Seksyen 119 akta yang sama, isi kandungan DKK diperluas bukan sahaja rekod khusus mengandungi butiran kanak-kanak yang memerlukan perlindungan, malah membabitkan maklumat pesalah jenayah berkaitan akta
berkenaan.

Antara kesalahan yang dilakukan bukan hanya membabitkan jenayah seksual semata-mata tetapi kesalahan lain seperti mendera, mengabaikan, membuang, menggunakan kanak-kanak untuk aktiviti mengemis atau aktiviti menyalahi undang-undang.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *