BN gagal wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi

KUALA LUMPUR: Di sebalik angka-angka besar yang sering diwar-warkan mengenai peluang pekerjaan di negara ini, rupa-rupanya ada fakta yang cuba disembunyikan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Realitinya, BN telah gagal menyediakan peluang pekerjaan bagi golongan berkemahiran tinggi dan banyak tertumpu kepada peluang pekerjaan berkemahiran rendah dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, fenomena ini katanya sekaligus membuktikan BN turut gagal dalam pembangunan industri.

“Terdapat lebih banyak pekerjaan berkemahiran rendah dan bergaji rendah diwujudkan di negeri ini. Pekerjaan berkemahiran rendah meningkat daripada 21.6 peratus kepada 27.8 peratus (6.2 peratus) manakala pekerjaan berkemahiran tinggi menurun dari 16 peratus kepada 13.8 peratus (-2.3 peratus) antara tahun 2011 hingga 2015.”

“Hasilnya, gaji di Sabah masih tidak berubah kerana pekerjaan berkemahiran rendah dan bergaji rendah lebih banyak diwujudkan daripada pekerjaan kemahiran tinggi di Sabah,” kata Phoong dalam satu sidang media.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Industri Datuk Seri Raymond Tan baru-baru ini bahawa terdapat kira-kira 300,000 pekerjaan baru telah diwujudkan di negeri ini dari tahun 2011 hingga 2015.

“Benar bahawa ada 297,000 pekerjaan diwujudkan di Sabah sepanjang tempoh itu, tetapi jika kita melihat butiran, kira-kira 59 peratus daripada pekerjaan baru yang diwujudkan adalah pekerjaan berkemahiran rendah.

“Sementara, daripada 489,600 pekerjaan baru yang diwujudkan di Selangor, kira-kira 42 peratus adalah pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya merujuk kepada kertas penyelidikan oleh Penang Institute bertajuk ‘Pasaran Kerja Malaysia dan Pewujudan Pekerjaan di bawah ETP 2011 hingga 2015’.

Dalam tempoh ini kata Penyelaras DAP Luyang itu, Sabah tidak menunjukkan perkembangan perindustrian yang boleh dibanggakan.

“Gaji di Sabah yang tidak berubah dalam jangka panjang berpunca daripada hakikat bahawa Sabah tidak mempunyai sektor perindustrian dan pembuatan yang baik sebagai penggeraknya.

“Kebergantungan kepada pekerja asing dan kepada ekonomi berasaskan sumber semula jadi mengakibatkan Sabah kehilangan sejumlah besar bakat dalam negeri,” katanya.

Ini jelasnya telah menyebabkan kebanyakan peluang pekerjaan di Sabah menjadi pekerjaan bergaji rendah dan berkemahiran rendah iaitu RM1,240.00 sebulan merujuk kepada statistik 2016.

Bagi mengatasi masalah ini, Phoong berkata, di bawah “Tawaran Anak Muda” oleh Pakatan Harapan (HARAPAN) komited untuk mewujudkan 100,000 “pekerjaan yang layak” dengan gaji bulanan lebih daripada RM2,500 di Sabah dalam tempoh lima tahun pentadbiran.

Berbanding 300,000 pekerjaan berkemahiran rendah yang disediakan BN dari tahun 2011 hingga 2015, HARAPAN juga ujarnya berhasrat untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan yang berkemahiran tinggi dan sederhana dengan kadar gaji yang lebih tinggi.

“Kita mahu mengurangkan penghijrahan bakat dan membawa anak muda kita kembali ke Sabah dengan menyediakan mereka pekerjaan kemahiran yang tinggi, yang baik dan berkualiti apabila kita membentuk kerajaan,” katanya lagi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *