Lima barang dijual hanya RM1 saja di Kedai Pakatan Harapan Johor

MUAR: Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor mengadakan program bagi menangani kenaikan kos sara hidup dengan menjual lima barangan keperluan kepada mereka yang memerlukan dengan hanya mengenakan bayaran RM1.

Dengan hanya RM1, mereka yang layak dapat membeli 1kg beras dan empat lagi barangan keperluan lain termasuk gula, tepung, minyak masak, krim pekat manis, kopi, teh dan kicap.

Program “Kedai Peduli Rakyat” ini dimulakan oleh sayap wanita Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor lebih setahun lalu dan kini menjadi sebahagian daripada aktiviti di kawasan luar bandar yang dijalankan HARAPAN.

Program ini dapat memberi bantuan sehingga 50 orang pada satu-satu masa di mana pengguna – kebanyakannya wanita -berkumpul di kawasan berhampiran rumah mereka untuk mendengar ceramah singkat sebelum berbelanja.

Aktivis HARAPAN dari Muar, Abdullah Said berkata pembeli terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang dikenalpasti sebagai mereka yang akan mendapat manfaat daripada jualan berkenaan.

“Barangan itu disumbangkan oleh para penderma atau dibeli menggunakan dana yang kami kumpul,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di program Kedai Peduli Rakyat dekat Sarang Buaya, Muar pada Jumaat lalu.

Beliau menambah, walaupun bayaran minimum adalah RM1, mereka digalakkan membayar sedikit wang tambahan untuk membiayai program Kedai Peduli Rakyat yang akan diwujudkan di kampung lain.

Malaysiakini berkesempatan menemui pembeli pada dua program Kedai Peduli Rakyat di Sungai Pulai dan Sarang Buaya, Muar.

Suri rumah Afiqah Salleh, 25, yang suaminya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan sebagai pemandu lori, berkata beliau dapat membeli barangan bernilai RM20 menerusi program itu.

“Sangat berbaloi dan hanya perlu bayar seikhlas hati sahaja,” kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Bagi beliau dan lain-lain penerima kupon seperti Mohd Shafiq Abu Bakar, 25 yang memperoleh pendapatan RM1,500 sebagai penghantar kelapa sawit, sukar bagi mereka menampung harga keperluan harian di Muar.

“Gaji memang tak cukup, jadi saya perlu ikat perut. Harga barang sekarang memang sangat mahal,” kata Mohd Shafiq, bapa kepada dua orang anak.

Pembeli lain yang ditemui di program Jualan Sentuhan Rakyat anjuran kerajaan BN di Sungai Balang, Muar juga mengeluh mengenai kenaikan harga barangan.

“RM200 dulu penuh troli tapi, sekarang tak dapat apa (dengan nilai yang sama),” kata suri rumah Fatimah Samad, 49, kepada Malaysiakini.

Jualan Sentuhan Rakyat

Seorang pesara Mat Sirun Muin, 70, berkata inisiatif itu perlu diadakan lebih kerap kerana ia menawarkan diskaun yang lebih besar.

Antara barangan yang dijual di Jualan Sentuhan Rakyat di Sungai Balang ialah10kg beras jenama Faiza Emas yang dijual RM22 daripada RM35, manakala sekampit beras seberat 5kg dijual dengan harga RM11 – lebih murah RM2 berbanding harga biasa.

Sementara itu, ayam dijual dengan harga RM10 seekor, sementara ikan selayang segar beku dijual dengan harga RM9 sekilogram.

Program Jualan Sentuhan Rakyat diperkenalkan pada bulan Januari tahun ini berikutan keluhan yang semakin meningkat akibat kenaikan harga barangan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Hamzah Zainuddin berkata, sebuah keluarga dengan empat anggota dapat membeli empat barangan menerusi program itu termasuk ayam dan ikan dengan hanya RM85.

Disember lalu, golongan selebriti seperti Sheila Majid menimbulkan kebimbangan mereka mengenai kos kenaikan harga barang, menyebabkan isu diperdebatkan di Perhimpunan Agung Umno.

Awal bulan lalu, Ameer Ali Mydin – pengarah urusan hypermarket popular Mydin berkata angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK ) yang tinggi di negara ini tidak menggambarkan kuasa beli bagi pengguna dan orang ramai kurang berbelanja.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *