Bukan tak jumpa tapi nak mampus siapa berani cari kapal mewah Equanimity

Seorang lagi bekas menteri tampil bersuara. Jika semalam, Rais Yatim menempelak Salleh Said Keruak yang begitu cepat membela Jho Low dengan mengatakan tiada bukti yang menunjukkan kapal Equanimity itu miliknya, kini giliran Rafidah Aziz pula melantunkan suaranya.

Rafidah melahirkan kekecewaannya kerana pihak berkuasa Malaysia gagal mencari kapal yang disenaraikan oleh DOJ sebagai pembelian hasil wang curi 1MDB sejak dua tahun lalu itu, sebaliknya berjaya dirampas oleh Indonesia dua hari lalu di perairan Bali.

“Apa jadi dengan pihak berkuasa kita sendiri?

“Apakah kita memang tak pernah kisah untuk cari dan jejakinya?

“Atau apakah ada lagi skandal menakutkan di sebalik kapal layar itu yang belum didedahkan? Apakah ada udang di sebalik batu?” soal Rafidah dalam tulisannya di Facebook.

Lebih daripada itu, Rafidah juga mendedahkan beliau sendiri pernah menemui lokasi kapal Equanimity itu dan sempat mengambil gambar serta videonya ketika menyertai aktiviti menyelam di Phuket pada tahun lalu.

“Kami yang hanya penyelam, boleh jumpa, kenapa pihak berkuasa kita tak boleh jumpa?” tanya beliau lagi.

Sebenarnya bukan pihak berkuasa negara kita tak boleh jumpa kapal tersebut, tetapi mereka memang tak pernah mencarinya pun?

Nak mampus siapa berani mencari?

Bukankah Jho Low ada kekebalan tersendiri?

Malah jika diminta kerjasama oleh pihak FBI Amerika pun untuk mencari kapal itu, sudah pasti ia akan ditolak mentah-mentah begitu saja.

Apa saja yang berkaitan 1MDB dan Jho Low, selagi Najib menjadi Perdana Menteri, semuanya akan cuba dilindungi sedaya yang boleh.

Lihat saja bagaimana Pejabat Peguam Negara menolak kerjasama perundangan atau MLA yang diminta sebanyak dua kali oleh pihak berkuasa Switzerland berhubung penyiasatan 1MDB sebelum ini.

Jadi, Rafidah tak perlu terlalu kecewa atau patah hati dengan apa yang berlaku dalam negara kita ketika ini. Harus difahami bahawa tiada apa-apa yang akan berubah selagi Najib, UMNO dan BN terus memegang kuasa.

Tukar kerajaan dan Tun Mahathir jadi Perdana Menteri, bereslah semua kejahatan yang menyesakkan dada kita selama ini.

>> Komentar bebas Shahbudin Husin, penganalisis isu semasa I 06 Mac 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *