Pakatan Harapan Terengganu sudah sedia bertempur tiga penjuru dalam PRU14

Sudah jelas dan nyata kini Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu akan berganding bahu melalui ‘Formula 11+11+10’ untuk melawan Barisan Nasional (BN)/Umno dan PAS bagi 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Melalui pembahagian kerusi yang dimuktamadkan oleh HARAPAN Pusat kelmarin, kini menunggu apakah benar BN/Umno dan PAS akan bergabung dalam kedudukan di mana HARAPAN sudah bersiapsiaga melalui formula berkenaan.

Pembahagian kerusi peringkat Pusat itu sudah ditandatangi oleh ketua perunding kerusi daripada tiga parti yang bertanding – AMANAH, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pada pilihan raya kali ini, DAP yang mulanya dispekulasikan akan bertanding di DUN Bandar atau DUN Chukai tidak menjadi.

DUN Bandar akan kekal kepada PKR dan DUN Chukai juga diperuntukkan kepada parti berkenaan.

Apakah ‘Formula 11+11+10’ dimaksudkan? HARAPAN Terengganu diperuntukan 11 kerusi DUN untuk AMANAH, 11 untuk PKR dan 10 kerusi untuk PPBM melalui rundingan itu.

Melalui pembahagian itu, di kerusi Seberang Takir yang mungkin dipertahankan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, beliau akan berdepan dengan calon PKR.

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang dikhabarkan akan mempertahankan kerusi DUN Kijal, beliau akan berdepan dengan Calon PPBM.

Sementara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang – sekiranya mempertahankan kerusi DUN Rhu Rendang – akan berdepan calon AMANAH. Diuar-uarkan bahawa Abdul Hadi akan melepaskan kerusi berkenaan kepada anak beliau.

Sementara di kerusi DUN Paka yang disandang oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat, beliau akan ditentang oleh calon AMANAH.

Satu-satunya ADUN pembangkang mewakili HARAPAN di DUN Terengganu, iaitu Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail akan mempertahankan kerusi DUN Bandar. Beliau jangka akan ditentang oleh calon BN daripada MCA dan juga daripada PAS.

Beberapa Exco kanan kerajaan seperti Datuk Mohd Jidin Shafie jika dikekalkan di DUN Permaisuri serta Datuk Tengku Putera Tengku Awang di DUN Kuala Berang – akan berdepan dengan calon daripada PKR.

Sementara kerusi yang disandang oleh Exco lain seperti Jerteh (ditentang oleh calon AMANAH), Hulu Besut (PPBM), Ajil (PPBM), Pengkalan Berangan (PPBM), Bukit Besi (PPBM), Air Puteh (PKR) dan Kemasik (AMANAH).

Sehingga ini, belum dipastikan sama ada Pengerusi AMANAH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad akan bertanding di kerusi DUN. Begitu juga dengan Pengerusi PPBM, Datuk Razali Idris ‘belum membuka mulut’ sama ada bertanding atau sebaliknya.

Menarik dalam pembahagian kerusi ini, semua parti komponen akan diberikan tanggungjawab untuk berdepan dengan cabaran berat di kerusi yang dimenangi majoriti besar, sama ada oleh BN/Umno mahupun PAS.

Di kerusi DUN yang menjadi dominan kepada BN/Umno seperti Telemong (Majoriti 6,864), Air Puteh (3,633) dan Permaisuri (2,928) diserahkan kepada PKR. DUN Kijal (4,204), Ajil (2,782) dan Langkap (3,022) kepada PPBM dan DUN Wakaf Mempelam (2,986), Sura (2,957), Rhu Rendang (2,819) dan Batu Burok (2,273) diserahkan kepada AMANAH.

Sudah pasti dalam cabaran getir seperti ini, HARAPAN akan mencari rumusan dan strategi terbaik untuk menawan kerusi berkenaan walaupun dilihat amat sukar.

Di DUN Batu Burok, belum dapat dipastikan apakah PAS akan mencalonkan semula Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi . Beliau dilihat ‘mesra HARAPAN’ tetapi belum mengisytiharkan pendiriannya.

Berikutan selesainya pembahagian kerusi HARAPAN dan dengan ‘perselisihan kecil’ diselesaikan, HARAPAN kini menumpukan sepenuh tenaganya untuk menghadapi saingan tiga penjuru (BN, PAS dan HARAPAN) dengan kemungkinan munculnya calon BEBAS di beberapa DUN seperti pilihan raya yang lalu.

Apa yang menggembirakan, selain selesainya pembahagian kerusi DUN, HARAPAN Terengganu juga sudah menyiapkan manifestonya sebagai tawaran untuk rakyat Terengganu sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Manifesto HARAPAN, Azan Ismail berkata, Manifesto HARAPAN Terengganu dijangka akan diumumkan pada minggu ketiga bulan ini sempena Jelajah PAKATAN HARAPAN di mana lima pemimpin tertinggi HARAPAN akan hadir pada majlis yang akan diadakan di Parlimen Dungun.

“Saya sangat yakin rakyat Terengganu akan memberikan perhatian dan keyakinan kepada tawaran kami kerana ia membabitkan banyak perkara yang akan faedah kepada rakyat,” tegasnya.

Sebelum ini bagi kerusi Parlimen, AMANAH akan bertanding di kerusi Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus, PKR di Dungun dan Kemaman, sementara PPBM di Setiu, Besut dan Hulu Terengganu.

>> Komentar bebas Hambali Abdul Latiff, Ketua Penerangan dan Komunikasi HARAPAN Terengganu I 4 Mac 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *