Menekuni peluru “dakwah done” yang dipilih-pilih

Beberapa hari lalu, saya membawa Haji Zulkifli bertemu Said Nursi. Sejak dibebaskan pada 1956, ulama era Uthmaniyyah bermazhab Hanafi itu bukanlah dalam keadaan yang sihat.

Sewaktu mereka bersalaman, saya perasan Haji Zulkifli seolah-olah menuntut Said Nursi menciumi tangannya. Kura tangan itu sengaja dibiar tergantung lama selepas disalami.

Di sebelah Said Nursi, beliau ditemani biografisnya yang terkenal, Sukran Vahide, yang pernah menulis makalah panjang lebar berjudul “Islam in Modern Turkey: An Intellectual Biography of Bediuzzaman Said Nursi”.

Said Nursi memulakan bicaranya dengan memberitahu Islam harus dilaksanakan sebagai satu kepercayaan, dan bukan sebagai politik. Saya dengan rasa tidak tertahan telah mencelah, “Ini berbeza dengan ‘Islam as politics’ seperti yang ditemukan pada Maududi, Hassan al-Banna dan Sayyid Qutb.”

Sukran Vahide tersenyum. Said Nursi memandang tepat kepada Haji Zulkifli. Beliau bersuara, “Selalu kemajuan masyarakat itu adalah hasil yang terbit dari perjuangan antara dua kumpulan. Iaitu kumpulan syaitan dan kumpulan Tuhan.”

Tatkala ini Haji Zulkifli kelihatan tersenyum. Matanya melirik kepada saya, dengan niat mengatakan “kan ana dah kata”. Seakan-akan Said Nursi mengiktiraf apa yang dilakukannya, seorang lebai yang bergelumang dengan penuh lip-lap kemasyhuran sosial media.

Itu adalah momen “dakwah done” untuk Haji Zulkifli.

Said Nursi tidak membiarkan keangkuhan terapung tinggi lantas menyambung, “Akan tetapi yang saya maksudkan dengan kumpulan syaitan dan kumpulan Tuhan bukanlah perjuangan antara Muslim dan bukan Muslim. Ia adalah mereka yang mempertahankan hak-hak makhluk hidup dengan mereka yang menafikannya.
Objektif kepada perjuangan kita, kaum agamawan ini akan datang dari manusia biasa, saya ulangi manusia biasa – orang kebanyakan – dan matlamat kita itu adalah untuk bekerja melawan penindasan dan kezaliman kaum kapitalis yang berselingkuh dengan kaum pemerintah. Ingatlah, penindasan dan kezaliman menandakan tiadanya kebaikan dan kebajikan. Hanya dengan Islam sebagai kepercayaan kita dapat menyumbang kepada perlawanan menolak penindasan dan kezaliman ini.”

Saya melihat Haji Zulkifli mulai resah. Mungkin dia tidak suka dituntut melakukan perlawanan dengan orang besar. Selama ini dia bergasak dan mengganyang anggota masyarakat yang biasa-biasa. Mungkin juga Haji Zulkifli kurang memahami. Mutiara kata Said Nursi itu tinggi untuk dicerna hatta oleh pemegang PhD.

Mudah lawan orang biasa

Untuk ramai lebai, melawan orang kebanyakan berdarah murbawan dengan peluru dakwah adalah mudah. Tetapi untuk melawan kaum kapitalis dan pemerintah, katakan seorang bangsawan berdarah penuh gelar-gelar hampir tidak didengar oleh orang awam sepertiku, seperti kita semua.

Ia adalah peluru “dakwah done” yang dipilih-pilih.

Saya melihat Haji Zulkifli mulutnya terkumat-kamit seakan-akan ingin membantah. Barangkali juga dia tidak begitu faham kerana Said Nursi dalam dakwahnya sangat mementingkan teori sosial.

Jarang agamawan atau ulama memahami gagasan kontemporari untuk bergasak. Dalam erti kata lain, teras perjuangan Said Nursi dapat diformulasikan sebagai satu pendekatan sosiologi.

“Masyarakat kamu sudah dipengaruhi kebendaan.” Said Nursi meneruskan. Di situ Haji Zulkifli mengangkat kopiah. Masih acuh tidak acuh.

“Masyarakat ini adalah masyarakat yang akar sokongannya adalah paksa. Paksa dalam melakukan kerja, paksa dalam melakukan dakwah, paksa dalam melaksanakan kehendak; dan kesannya adalah tekanan. Adakah ia baik? Tekanan mengakibatkan orang biasa terhempuk. Ia adalah masyarakat yang tujuannya manfaat, yang kesannya membuatkan masyarakat terumbang-ambing. Ia bukan sahaja menyebabkan orang biasa terumbang-ambing tetapi juga kaum agamawan yang hidup dengan tujuan manfaat kemasyhuran tersumbing sumbang. Masyarakat ini prinsipnya adalah konflik; yakni perseteruan, yang mengakibatkan kebengisan antara kelompok. Ikatan masyarakat ini adalah perkauman dan nasionalisme yang negatif; ia disuburkan dengan memilin satu sama lain yang memberi kesan pertembungan. Ia dilakukan oleh kelas pemerintah dan kaum agamawan menyertainya tanpa sedar, atau dengan sengaja. Khidmat dalam masyarakat ini adalah kehendak dan keghairahan, dan keinginan ini menyebabkan manusia bertukar menjadi haiwan.”

Haji Zulkifli akhirnya tidak tahan lagi. Dia mengeluarkan telefon bimbit dan kelihatan mengemaskini status akaun Instagram.

Said Nursi tidak berhenti, “Umat sedang mendepani lima kesulitan. Iaitu meningkatnya kesengsaraan dan rasa putus asa dalam kehidupan harian. Tanyailah anggota masyarakat kamu, setiap mereka sedang mengalami rasa putus harap ini dengan tahap dan cara berbeza.”

Miskin bandar

Ingatan saya menular kepada kemiskinan bandar. Anak-anak yang hinggap di rumah merpati di Kerinchi dan Pantai Dalam.

“Kejujuran telah terkorban dalam kehidupan sosial dan politik. Selain itu masyarakat kamu gemarkan permusuhan. Kaum agamawan membumbuinya. Permusuhan atas nama mazhab, atas nama dakwah, dan ia menjadikan permusuhan itu satu nikmat. Ia bermakna, dalam sehari tanpa dapat memusuhi sesiapa, anggota masyarakat yang kamu pimpini akan berasa resah.

“Jika ada seseorang individu, satu-satu kelompok untuk dibalun dan dimusuhi, kumpulan Muslim ini akan berasa hebat dan sedap. Ini berlaku kerana tiadanya ikatan setiakawan yang benar atara orang mukmin sehingga mereka mengasari yang tidak. Masyarakat ini juga dipupuk dengan kezaliman, yang meluas, seakan-akan satu penyakit. Ia kemudian tidak ditangani oleh agamawan seperti kamu.”

Saya tersentak. Haji Zulkifli menaip sesuatu, mungkin sedang WhatsApp.

Saya inginkan penjelasan, “Jadi, dakwah itu bukan berkisar hal-hal ranting yang jika diulas dapat mendatangkan sokongan umat yang sukakan permusuhan dan rapuh setiakawannya.”

Said Nursi mendepang telapak tangan tanda ingin menyambung. “Kesetiakawanan itu dapat ditemukan dari peristiwa sejarah umat Islam yang ideal. Ia membawa kesan pertama, usaha berpanjangan untuk menerap keadilan sebenar sebagai lawan nasionalisme; kedua, meletakkan kepercayaan iaitu agama di atas politik; ketiga, kesediaan untuk nestapa dan mati demi prinsip-prinsip yang diperjuangkan.”

“Asas kesetiakawanan antara umat yang diperoleh dari sejarah yang ideal?” Soal saya inginkan kepastian. Terdapat pada sosok Ali, Fatimah, Hasan dan Husin.”

Giliran Sukran Vahide menjelaskan, “Ini dapat diperolehi dlam Bediuzzaman Said Nursi, pada himpunan yang diterjemahkan sebagai ‘The Flashes Collection’, dari Risala-i Nur, jilid ketiga.”

“Oh yang terbitan Sozler tahun 2004 di Istanbul?”

“Ya, di halaman 131 dan 132. Juga mukasurat 596 dan 597.”

Haji Zulkifli menguap. Mungkin dia letih, atau kantuk, lantaran banyaknya bersembahyang malam. Haji Zulkifli akhirnya membuka mulut, “Yang penting syariah. Tak ada syariah nak Islamkan apa…”

Said Nursi tiba-tiba kabur, bagai sebuah hologram yang dimatikan suisnya. Haji Zulkifli terpinga-pinga. Mungkin juga dia tersinggung.

Sukran terpaksa berkata sesuatu, “99% syariah, menurut Said Nursi adalah mengenai moral, ibadat, alam akhirat dan berbuat kebaikan.”

Saya menambah, “Ya, seperti kata Syed Farid Alatas yang banyak mengkaji pemikiran Said Nursi untuk menggubah tulisannya menjadi satu formula sosiologi; Nursi tidak menghadkan syariah itu kepada peraturan dan hukum, ‘Nursi did not reduce the shariah to rules and regulations.’

“Di mana dia?” Haji Zulkifli bertanya agak kesal.

“Kenapa?” Tanya saya pula.

“Nak swafoto. Tak sempat nak selfie.”

[Karangan ini diadaptasi secara longgar dari artikel hasil Syed Farid Alatas, 2017, “Said Nursi (1877-1960)” dalam Sociological Theory Beyond the Canon. London: Palgrave Macmillan. 205-236.]

>> Komentar bebas Faisal Tehrani, nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia I 2 Mac 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *