Projek hospital baharu di Perak, BN gagal tunaikan dan jangan tipu rakyat

Saya meneliti hujah Datuk Dr Haji Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Negeri Perak dalam program Selamat Pagi Perak pada 15 Februari 2018 baru-baru ini berkaitan janji Barisan Nasional (BN) untuk membina Hospital Baharu di negeri Perak.

Pengerusi Amanah Perak, Azmuni Awi

Saya melihat beliau gagal menjawab persoalan yang dilontarkan kepadanya dan berbelit-belit memberikan ulasan namun tidak menjelaskan sebagaimana yang sepatutnya. Untuk itu, saya akan membantu beliau menjawab persoalan berkaitan janji BN untuk membina Hospital Baharu ini yang sehingga kini gagal dilaksanakan.

Terdapat tiga (3) Hospital Baharu yang telah dijanjikan sebelum ini setiap kali menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) iaitu Hospital Parit Buntar (Kerian), Hospital Seri Iskandar (Perak Tengah) dan Hospital Kampar.

1. Hospital Parit Buntar

Merujuk kepada arkib media, acara pecah tanah tapak projek Hospital Parit Buntar telah dibuat sejak zaman Tan Sri Mohamad Tajol Rosli Mohamed Ghazali sebagai Menteri Besar sekitar tahun 2006 selepas PRU ke-11.

Pada 1 Mac 2008 pula, media melaporkan bahawa Hospital Parit Buntar akan diteruskan dengan peruntukkan baru sebanyak RM112juta seminggu sebelum PRU 12 pada 8 Mac 2008.

Manakala pada 2 Mac 2008 sekali lagi, media melaporkan Tajol Rosli bersedia untuk melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar jika projek tersebut tidak dimulakan dalam tempoh enam bulan.

Pelbagai kenyataan dibuat berkaitan isu projek hospital baharu ini termasuklah pada 11 September 2012 dimaklumkan bahawa Hospital Parit Buntar telah dimasukkan di dalam Rolling Plan ketiga iaitu projek-projek RMK-10.

Perdana Menteri Malaysia semasa mengadakan lawatan kerja ke Perak pada 14 Januari 2012 telah mengumumkan keputusan kerajaan untuk membina sebuah hospital pakar yang mempunyai lebih 300 buah katil di sini.

Manakala pada 29 Julai 2017 pula, dimaklumkan bahawa Hospital baharu Parit Buntar akan siap sekitar tahun 2021, di dalam RMK-11 yang boleh memuatkan 76 katil dan akan dibina di atas tanah seluas 21 hektar.

Terkini pada 20 Februari 2018, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof pula berkata pembinaan hospital empat tingkat di atas tanah seluas 5.2 hektar itu akan menggunakan teknologi Pemodelan Bangunan Bermaklumat (BIM).

Ianya dibina berasaskan reka bentuk imej tiga dimensi, pembinaan Hospital Parit Buntar ini akan menelan kos sekitar RM 136.7juta dan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung Disember 2020.

Saya ingin mengingatkan kepimpinan negara bahawa janji untuk membina Hospital Parit Buntar ini telah berusia 12 tahun namun masih lagi belum menjadi kenyataan.

2. Hospital Seri Iskandar

Cadangan bagi projek Hospital Bandar Seri Iskandar pula telah dimaklumkan oleh Ketua Umno Bahagian Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan yang menjelaskan bahawa ianya telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 2007 lagi.

Pada 26 Februari 2008, media melaporkan bahawa Bandar Seri Iskandar akan mendapat sebuah hospital baharu bernilai RM85juta di atas tanah seluas 12.1 hektar iaitu di bekas tapak Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Seri Iskandar.

Pada 1 September 2011 pula dilaporkan bahawa sebuah Hospital baharu akan dibina di Perak Tengah bernilai RM104juta yang dikatakan di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Pada 4 Oktober 2014, dimaklumkan bahawa projek hospital ini adalah kelulusan secara prinsip daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan bukannya dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Manakala pada 8 Mac 2017 yang lalu pula, Datuk Seri Zambry memaklumkan bahawa projek Hospital Seri Iskandar kini di peringkat reka bentuk yang dijangka siap pada Mei 2017.

Janji BN untuk membina Hospital Seri Iskandar pula telah berusia 11 tahun dan masih gagal dilaksanakan.

3. Hospital Kampar

Pada 23 Julai 2011, Menteri Kesihatan Dato’ Sri Liow Tiong Lai memaklumkan bahawa Hospital Baharu Kampar dan Parit Buntar akan dilaksanakan dalam di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Sekali lagi pada 18 Mei 2012, Dato’ Sri Liow Tiong Lai mengumumkan bahawa Kerajaan akan membina hospital baharu bagi menggantikan Hospital Kampar sediaada dengan peruntukan berjumlah RM 150 Juta.

Turut dimaklumkan bahawa tapak projek itu telah dikenal pasti iaitu tanah seluas 104.26 ekar dan akan dibina di Tanjung Rengas, Bandar Baru Kampar yang terletak kira-kira lima kilometer dari hospital sedia ada yang boleh memuatkan 150 katil.

Pada 4 Ogos 2017 dimaklumkan bahawa projek ini akan diteruskan diatas tanah seluas 40 hektar di Kampar yang telah diluluskan pada 2012 dengan kerjasama Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Sehingga kini nasib Hospital Kampar ini masih belum dapat dipastikan kerana Menteri Kesihatan dan Menteri Besar membisu serta tidak mahu membuat sebarang ulasan kerana tapak asalnya menimbulkan persoalan.

Janji untuk penduduk Kampar bagi membina sebuah Hospital Baharu pula telah berusia 7 tahun dan tidak ada sebarang petunjuk untuk malaksanakannya.

Pada 2 Februari 2018 baru-baru ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula menjanjikan sebuah Hospital Veteran Baharu di Tambun sedangkan janji 3 Hospital sebelum ini masih belum dilunaskan.

Kesimpulannya bagi saya, timbulnya isu projek Hospital baharu ini ialah kerana ianya menjadi modal Pilihanraya kepada Barisan Nasional.

BN cuba menjadikan jaminan kesihatan rakyat ini sebagai bahan kempen terutamanya menjelang setiap kali Pilihanraya yang bakal menjelang tidak lama lagi.

BN gagal melunaskan janji mereka berkaitan pembinaan Hospital Baharu di Perak. Jadi tidak salahlah rakyat meletakkan tagline “Jangan tipu rakyat” kepada BN.

>> Komentar bebas Hj Asmuni Awi, Pengerusi AMANAH Negeri Perak I 1 Mac 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *