Dekad kesengsaraan, harapan dan tindakan – Satu catatan Adun Pasir Pinji

Di suatu pagi sepuluh tahun lalu; kami sekeluarga telah dirompak dan diugut dengan parang di kediaman orang tua saya. Beberapa jam selepas itu, entah bagaimana diesel telah dimasukkan ke dalam tangki kereta saya yang sepatutnya menggunakan minyak petrol, manakala di pusat gerakan pilihanraya, laptop saya yang mengandungi pelan terperinci kempen pilihan raya dan dokumen-dokumen rahsia pula telah dicuri. Semuanya berlaku pada pagi yang sama.

Kebetulan, itu adalah hari keempat daripada tempoh kempen 12 hari menjelang hari membuang undi pada pilihan raya umum 2008. Ketika itu kami sibuk berkempen. Saya adalah pengurus kempen untuk kerusi DUN Canning, salah satu daripada tiga kerusi DUN di bawah kawasan Parlimen Ipoh Timur. Calon saya ialah seorang muka baru, seorang peguam muda berusia 29-tahun, berhadapan dengan calon penyandang dari Gerakan.

Mungkin sahaja ia hanya kebetulan, tetapi pada hemat saya, itu lah pengalaman merasai sendiri permainan kotor oleh Barisan Nasional. Kami tiada masa dan upaya untuk merasa tersentak, kami hanya membuat laporan polis dan meneruskan kempen mengikut perancangan dan jadual.

Tetapi ada satu perbualan pada pagi itu yang menggamit memori saya. Waktu itu kami betul-betul di luar pusat gerakan pihak lawan, di mana kereta saya diletakkan. Seorang pak cik menunding ke arah lubang tangki minyak kereta saya dan beritahu saya ada diesel yang meleleh keluar apabila saya cuba dan gagal menghidupkan enjin kereta.

Beliau terus membuat kesimpulan yang ia adalah hasil kerja ‘pihak lawan’. Sudah tentu saya juga fikir sedemikian, tetapi saya tidak ada bukti dan sangat tidak molek untuk kami buat tudahan melulu di depan orang ramai. Pak cik terus menyerah kalah, sambil menyimpulkan bahawa tiada harapan untuk kita menang.

“Anak muda, awak semua akan dapat undi saya macam 3 pilihan raya yang lepas. Tetapi, saya nasihatkan awak supaya tidak terlalu masuk campur kalau awak mahu ada masa hadapan. Awak semua tidak akan menang, kerana mereka mengawal segalanya. Anak-anak saya sudah ke luar negara, dan tidak akan kembali. Negara ini sudah rosak tidak boleh diselamatkan lagi”, kata pak cik tersebut yang masih terngiang-ngiang di telinga saya hingga ke hari ini.

Walaupun saya meneruskan hidup seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku, sejujurnya saya mempunyai perasaan yang sama. Namun rasa amarah, di samping betapa banyak kerja di tangan dan cabaran yang menggunung di hadapan telah memaksa saya untuk menafikan keadaan dan secara anehnya telah melancarkan produktiviti saya.

Bukan salah saya untuk mengandaikan rompakan tersebut adalah sebahagian permainan politik untuk mengancam kami. Sepanjang pagi itu, saya terfikir untuk menarik diri daripada berkempen. Suara abang dan ibu saya menjerit supaya saya membuka pintu bilik tidur selepas diugut dengan parang terngiang-giang di telinga saya sepanjang hari. Rasa takut itu tidak boleh diabai, kalau meneruskan usaha saya bermakna kami sekeluarga terus berisiko dengan ancaman yang sama.

Mungkin kerana sifat pentingkan diri atau kedegilan anak muda, saya dapat melawan rasa takut dan terus menjalankan kempen. Ajaibnya, akhirnya, saya lebih berazam dan bersemangat – bukan demi memenangkan calon dan parti atau mengalahkan pihak lawan – tetapi demi menyampaikan mesej kami kepada pengundi.

Menyertai PRU ke-12 sedekad lalu, kita tiada pakatan, tiada manifesto bersama, tiada pengalaman dalam kerajaan, malah tiada cita-cita untuk membentuk kerajaan di peringkat mana pun. Objektif dan mesej kami ketika itu ialah untuk menafikan BN majoriti dua pertiga dalam masa-mana cabang legislatif dan untuk memecah hegemoni UMNO-BN.

Di sebalik itu, kami tidak menjangka langsung tsunami yang telah melanda kita pada 8 Mac 2008. Rakyat benar-benar takut terhadap kesannya ke atas mereka jika menyokong kami, dan kekuatan jentera rejim BN ada di mana-mana sahaja ke mana kami pergi.

Naratif yang dimainkan di peringkat akar umbi ialah, kemenangan rejim BN adalah satu kepastian dan pihak pembangkang akan terus terperosok di penjuru kehancuran politik.

Saya belum lagi terserempak dengan pak cik yang menasihati saya untuk menarik diri, namun sejarah membuktinya beliau salah. Kami berjaya merampas kerusi itu daripada Gerakan dengan undi majoriti yang tinggi. DAP menang kesemua 18 kerusi DUN yang ditandingi dan terdapat perubahan kuasa di 4 negeri. Calon saya selepas itu dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak.

Hari ini, sepuluh tahun kemudian, kita sekali lagi berhadapan dengan ketidaktentuan pembangkang. Rejim pemerintah menonjolkan kekuatan mereka, seperti pada tahun 2008. Pemerhati politik meramalkan kegagalan seperti sebelum ini. Bezanya, BN hari ini penuh dengan skandal dan kegagalan dasar di samping kesusahan yang mereka bebankan ke bahu rakyat.

Hari ini, sepuluh tahun kemudian, pihak pembangkang boleh dengan yakinnya menggelar diri sebagai ‘kerajaan menunggu’, dan sudah ramai yang telah menikmati hasil perjuangan demokratik mereka susulan pembentukan kerajaan negeri di Selangor dan Pulau Pinang. Calon saya 10 tahun lalu dan saya, kedua-dua kami wakil rakyat yang muda, masih berpegang teguh dengan azam, prinsip dan keyakinan kami.

Kita juga sekarang punya pasukan aktivis dan ahli parti yang ikut serta, menggandakan kekuatan angka yang kita ada berbanding dahulu.

Hari ini, sepuluh tahun kemudian, politik Malaysia telah melalui perubahan besar sejak pilihan raya yang lalu. Landskap politik telah berubah dan tanah air sekarang subur dan bersedia untuk perubahan rejim secara demokratik buat kali pertama di Malaysia.

Pada saya, keyakinan mutlak kami terhadap rakyat untuk melakukan perkara yang betul, dan keteguhan pergerakan demokrasi membantu saya bertahan pada hari itu. Sikap jitu yang sama ribuan rakyat Malaysia yang lain itulah yang membawa perubahan pada PRU 2008.

Saya mungkin tidak boleh bercakap bagi pihak lain, saya tidak berusaha atau mengimpikan secara strategik pun tsunami politik dahulu, saya hanya menterjemahkan harapan saya melalui tindakan dan kerja keras. Akhirnya, apa yang berlaku adalah lebih lagi dari apa kami harapan dahulu.

Mungkin, apa yang saya minta dari rakyat Malaysia, ialah untuk terus berpegang teguh kepada Harapan kalian untuk pilihan raya yang akan datang. Terjemahkan ia melalui tindakan dan mungkin akhirnya kalian akan saksikan hasilnya lebih daripada apa yang kalian impikan.

>> Komentar bebas YB Howard Lee, Adun DAP Pasir Pinji I 1 Mac 2018

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *