Amanah masih belum dapat kerusi tukaran di Kuala Lumpur kata Khalid Samad

KUALA LUMPUR: Selepas dua bulan rundingan, Parti Amanah Negara (AMANAH) masih belum berjaya mendapat kerusi di Wilayah Persekutuan.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad memberitahu, setakat ini pihaknya masih lagi melakukan rundingan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu kerusi parlimen.

“Masih berunding (antara parti komponen Pakatan Harapan). Ini soal pertukaran kerusi sahaja.

“Bukan nak putuskan kerusi siapa, jadi tak ada tarikh akhir,” katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan AMANAH akan berunding bagi memastikan mereka bertanding satu kerusi di Kuala Lumpur pada pilihan raya umum ke-14.

Bagi memastikan kelangsungan parti serpihan PAS itu di ibu kota, mereka malah menawarkan menukar kerusi sedia ada di negeri lain untuk mendapatkan peluang bertanding di Wilayah.

Selain itu, ditanya mengenai desas-desus Khalid tidak akan mempertahankan Parlimen Shah Alam dan kerusi itu akan diberi pada parti lain, beliau menafikannya.

“Insya-Allah (kekal bertanding di Shah Alam). Kerusi Shah Alam ini masih milik AMANAH,” katanya.

Ditanya lagi mengenai dakwaan sama ada AMANAH berhasrat untuk bertanding di Parlimen Putrajaya, Khalid berkata perkara itu juga belum lagi mendapat kata putus.

“Kita ada sebut berminat (dengan kerusi Parlimen Putrajaya), jadi tunggulah macam mana.

“Tak tau nak kata, benda ini tak putus lagi jadi tak perlu nak cakap lagilah, tak pasti lagi,” ujarnya lagi.

Difahamkan HARAPAN memperuntukkan kerusi Putrajaya kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *