Lagi taktik kotor BN turunkan bendera Pakatan Harapan

Pagi ini, Majlis Daerah Yong Peng menurunkan semua bendera Pakatan Harapan sekitar bandar Ayer Hitam yang telah dipasang pada malam sebelumnya. Sementara bendera Barisan Nasional dan PAS tidak disentuh dan dibiarkan terpasang di sudut-sudut sesak bandar.

Kerajaan tempatan dimanipulasi oleh BN sebagai alat politik dan dianggap sebagai sebahagian jentera kempen, sekaligus menyebabkan pertembungan antara parti dan badan kerajaan.

Sudah tentu, ini bukan pertama kali BN menyalahgunakan sumber kerajaan untuk kepentingan mereka. Pengerusi jawatankuasa perhubungan MCA Johor Datuk Seri Wee Ka Siong secara terbuka menggunakan bilik mesyuarat di Majlis Daerah Yong Peng bagi kegunaan mesyuarat jawatankuasa negeri MCA.

Bilik mesyuarat ini biasanya digunakan untuk mesyuarat dalaman penting berkenaal hal-hal majlis daerah. Penyalahgunaan kemudahan Majlis Daerah Yong Peng oleh MCA ini adalah sesuatu yang keji.

Sedangkan, pada masa yang sama, Majlis Daerah Kluang, beberapa kali menolak permohonan Pusat Komuniti Pakatan Harapan Kluang bagi mengadakan program di kawasan bandar dengan memberikan alasan yang tidak masuk akal.

Ini termasuklah permohonan yang melibatkan aktiviti yang tiada kaitan dengan politik seperti program kanak-kanak dan keluarga.

Bukan itu saja. BN telah memasang enam papan iklan besar sepanjang jalan persekutuan di Kluang dan tiga daripadanya tertera MCA.

Jawapan yang saya terima selepas mempersoalkan perkara ini di Parlimen sangat mengejutkan: Bahawa papan-papan iklan berkenaan diluluskan oleh majlis daerah. BN malah tak perlu membuat permohonan kepada Jabatan Kerja Raya, meskipun perkara itu diwajibkan mengikut undang-undang.

Ini menunjukkan BN tidak menghormati peraturan dan undang-undang, dan lebih parah, mengabaikan keselamatan pengguna jalan raya kerana ia menyebabkan halangan lalu-lintas.

Meskipun saya sudah menyerahkan jawapan parlimen berkenaan papan-papan iklan haram berkenaan kepada Majlis Daerah Kluang bagi tindakan lanjut, majlis daerah terus berdiam diri. Tiada tindakan diambil dan papan iklan berkenaan masih terpasang.

Saya mengeluarkan kenyataan semalam mempersoalkan penyalahgunaan bangunan Bomba Sukarela di Ayer Hitam, bangunan yang dibina menggunakan duit cukai rakyat, namun dijadikan pusat kempen BN.

Jawapan balas Wee langsung tidak menyentuh apa yang saya sampaikan. Selain tidak menjawab soalan yang saya bangkitkan, beliau malah cuba mengalihkan perhatian dengan bercerita sejarah pasukan pemadam api sukarela dan menjelaskan kerja keras dan jasa mereka, yang jelas tak ada sesiapa persoalkan.

Hanya selepas ditanya The Malaysian Insight, barulah Wee mengeluarkan dakwaan bahawa MCA menyewa premis berkenaan. Ini merupakan percubaan menutup kesalahan.

Kebimbangan utama saya adalah bangunan yang didanai oleh orang awam tidak seharusnya digunakan sebagai pusat operasi mana-mana parti politik.

Wee perlu menjelaskan kepada orang ramai berkenaan semua perkara seumpama ini kerana gagal membezakan antara dan peranan, fungsi dan sumber antara kerajaan dengan parti politik.

Situasi seumpamanya di mana kerajaan tempatan menekan pembangkang namun melindungi parti pemerintah membuktikan BN menyalahgunakan sumber kerajaan sebagai jentera parti.

Komponen parti BN berani melakukan apa saja yang mereka suka, menyalahgunakan duit pembayar cukai sebagai dana parti, memperalat kemudahan majlis daerah dan mengarahkan penjawat awam seakan-akan mereka ahli parti. Ini sesuatu yang sangat keji dan memalukan.

Pakatan Harapan menganjurkan idea agar dana yang adil daripada kerajaan diberikan kepada baik parti pemerintah mahupun parti pembangkang untuk melancarkan operasi parti dan perwakilan. Semua kemudahan awam juga boleh disewa oleh semua parti dan NGO tanpa campur tangan politik.

Sekiranya Pakatan Harapan menubuhkan kerajaan, kami berikrar untuk memastikan penyalahgunaan seperti yang dilakukan MCA dihentikan dan memastikan gelanggang yang sihat dan adil untuk semua parti politik.

Liew Chin Tong
Ahli Parlimen Kluang merangkap
Pengerusi DAP Johor

25 Februari 2018

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *