Amanah gesa tubuh Mahkamah Khas tangani isu macam Indira Ghandi

Presiden Parti AMANAH Negara, Mohamad Sabu dalam satu kenyataan media pada 8 Februari 2018 berhubung dengan keputusan kes Indira Ghandi telah menyatakan bahawa AMANAH berpandangan perlu ada Mahkamah Khas yang gabungkan Sivil dan Syariah untuk menangani kes yang mana melibatkan ibu bapa yang kekal dengan agama asal yang tidak bersetuju untuk dihakimi di Mahkamah Syariah.

Isu dalam kes Indira Ghandi adalah berkaitan konflik agama apabila seorang pasangan menganut agama Islam manakala seorang lagi kekal dalam agama asalnya. Jadi apakah status agama anak-anak kepada pasangan tersebut.

Dalam kes Indira Ghandi, bekas suaminya Pathmanathan A/L Khrisnan (Mohd Ridzuan Abdullah) telah mendapatkan sijil pemelukan agama Islam bagi ketiga-tiga anaknya iaitu Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinish (11 tahun) dan Prasana Diksa (11 bulan) pada 2 April 2009.

Walau bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa sijil pemelukan agama Islam itu adalah tidak sah dan tidak berkuatkuasa. Mahkamah Persekutuan juga memutuskan bahawa kedua-dua ibu dan bapa daripada perkahwinan sivil mesti memberikan kebenaran sebelum surat perakuan menganut agama Islam dikeluarkan kepada anak tersebut.

Sememangnya kes seumpama ini akan berulang jika tiada suatu penyelesaian yang tuntas oleh kerajaan. Maka, cadangan AMANAH ini wajar untuk dibincangkan dengan lebih lanjut untuk mencari mekanisme terbaik bagi menyelesaikan masalah ini.

Dalam struktur perundangan yang ada, orang bukan Islam tidak berhak dihakimi di Mahkamah Syariah kerana ada kekangan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah Sivil bukan sahaja boleh menghakimi orang bukan Islam tetapi juga menghakimi orang Islam.

Oleh kerana wujud kekangan peruntukan undang-undang berkaitan sekatan seperti ini maka jelaslah forum terbaik untuk menyelesaikan pertikaian ini adalah di Mahkamah Sivil. Ini kerana Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa terhadap seseorang itu tanpa mengira sama ada beliau beragama Islam atau tidak.

Soalnya, adakah Mahkamah Sivil mempunyai kemampuan untuk memutuskan hal seperti ini terutamanya jika berbangkit perkara-perkara yang berkaitan Hukum Syarak.

Walaupun Hukum Syarak bukanlah sumber utama untuk seseorang Hakim Mahkamah Sivil memutuskan sesuatu kes tetapi kerana ianya ada kaitan dengan kes berkenaan maka hakim itu hendaklah juga merujuk kepada Hukum Syarak dalam hal tertentu bagi membolehkan sesuatu kes itu diadili dengan sempurna.

Prosiding kehakiman di Mahkamah Tinggi Sivil adalah tertakluk kepada Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 91). Seksyen 18(1) Akta 91 menyatakan bahawa apa-apa prosiding di Mahkamah Tinggi hendaklah dibicarakan dan diputuskan oleh seorang Hakim sahaja kecuali jika sesuatu undang-undang lain menyatakan sebaliknya.

Prosiding kehakiman di Mahkamah Sesyen Sivil pula adalah tertakluk kepada Akta Mahkamah-Mahkamah Rendah 1948 (Akta 92). Seksyen 59(3) Akta 92 menyatakan bahawa hanya seorang hakim yang akan memutuskan kes di Mahkamah Sesyen.

Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) pula mendefinisikan Mahkamah itu sebagai Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Sesyen yang diberikan bidangkuasa. Ini bermakna sesuatu kes yang melibatkan perkahwinan atau perceraian orang bukan Islam akan diadili di Mahkamah Tinggi atau di Mahkamah Sesyen yang diberikan kuasa.

Oleh itu secara umumnya, prosiding perceraian yang melibatkan pasangan bukan Islam akan dibicarakan di hadapan seorang Hakim sahaja selaras dengan peruntukan Seksyen 18(1) Akta 91 atau Seksyen 59(3) Akta 92.

Seperti yang dinyatakan di atas, dalam sesuatu hal keadaan pasti akan berbangkit berkaitan Hukum Syarak jika melibatkan seorang yang menganut agama Islam. Ini akan menjadi kesulitan kepada Hakim yang tidak mempunyai asas dalam agama Islam.

Satu cara bagi menyelesaikan isu ini adalah dengan melantik seorang yang berkelayakan dalam agama Islam untuk turut menjadi penasihat kepada hakim tersebut. Perkara ini ada dibuat dalam kes yang berkaitan dengan kanak-kanak.

Ini dinyatakan secara khusus dalam seksyen 11 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) menyatakan bahawa prosiding yang melibatkan kanak-kanak di dalam Mahkamah Kanak-Kanak hendaklah didengar oleh seorang majistret dengan dibantu oleh dua orang penasihat yang dilantik oleh Menteri.

Justeru, bagi membolehkan suatu Mahkamah Khas ini ditubuhkan suatu pindaan undang-undang wajar dibuat kepada Akta 164 untuk penubuhan Mahkamah Khas yang berupaya untuk memutuskan isu-isu yang melibatkan seorang pasangan yang telah menganut agama Islam khasnya isu berkaitan pemelukan anak tersebut ke dalam agama Islam.

Pindaan kecil juga perlu dibuat di dalam Akta 91 dan Akta 92 untuk menjelaskan hal ini. Dengan pindaan ini akan membolehkan seorang Hakim Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Sesyen yang diberikan kuasa untuk mendengar kes tersebut dan mendapat nasihat yang sewajarnya daripada seorang yang kompeten berkaitan Hukum Syarak. Justeru, semua pihak akan mendapat keadilan yang sewajarnya apabila sesuatu kes itu didengar.

>> Komentar bebas Biro Kanun Amanah Nasional I 23 Februari 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *