Najib, Zahid mohon ketepi bukti skandal 1MDB dalam perbicaraan di Singapura

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan saman kerana melanggar sumpah jawatan, memfailkan permohonan untuk mengeluarkan rekod prosiding yang dikemukakan dalam perbicaraan jenayah Singapura membabitkan 1MDB.

Dalam permohonan mereka yang difailkan minggu lalu, kedua-duanya berkata, prosiding itu adalah khabar angin dan tidak boleh diterima dalam kes di sini.

Bagaimanapun, plaintif, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan membantah permohonan itu.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan Khairuddin memasukkan dokumen itu sebagai sokongan terhadap tindakannya ke atas Najib dan Zahid.

Sementara itu, Khairuddin berkata, permohonan untuk mengetepikan dokumen itu tidak masuk akal kerana bukti datang daripada bidang kuasa Komanwel sama seperti Malaysia.

“Ia tidak masuk akal untuk mendakwa dokumen mahkamah Singapura bukan bukti, dan ini sama seperti menghina mahkamah,” kata Khairuddin kepada wartawan selepas pengurusan kes semalam.

Peguamnya, Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar, berkata beliau memaklumkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Norasyida Abdul Rahman yang anak guamnya akan memfailkan permohonan rasmi untuk menentang tindakan mengeluarkan dokumen itu.

Syed Iskandar berkata, Norasyida sudah mengarahkan Khairuddin memfailkan afidavit untuk permohonan itu menjelang 16 Mac, manakala Najib dan Zahid diberikan masa sehingga 29 Mac untuk bertindak balas terhadap bantahan itu.

Pengurusan kes berikutnya akan diadakan di depan Hakim Ahmad Zaidee Ibrahim pada 30 Mac ini.

Syed Iskandar berkata, dokumen itu adalah rekod prosiding yang dikemukakan dalam perbicaraan jenayah membabitkan Yeo Jiawei oleh pihak pendakwaan untuk menunjukkan ahli perniagaan, Low Taek Jho yang memberi arahan dalam 1MDB.

Yeo, bekas pengurus kekayaan bank swasta Switzerland, BSI cawangan Singapura, dihukum penjara 54 bulan pada 12 Julai 2017 kerana pengubahan wang dan penipuan, dalam kes dikaitkan kepada siasatan global membabitkan berbilion dolar yang didakwa diseleweng daripada dana 1MDB.

Yeo, 34, mengaku bersalah dan menjalani hukuman penjara serentak dengan baki hukuman penjara 30 bulan yang dijatuhkan ke atasnya pada Disember 2016 kerana mengganggu saksi.

Khairuddin yang merupakan pengkritik 1MDB, dalam pernyataan tuntutannya, berkata kedua-dua pemimpin negara itu tidak layak berada dalam Kabinet kerana mengelirukan orang ramai yang RM2.6 bilion dalam akaun Najib datang daripada penderma Arab Saudi.

Beliau berkata, Najib dan Zahid gagal mematuhi sumpah mereka untuk melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan seperti ditetapkan di bawah Jadual Keenam Perlembagaan.

Bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan itu yang dipecat daripada parti pada 2015, mahu satu pengisytiharan yang Najib tidak layak memegang jawatan perdana menteri atau menjadi anggota Kabinet yang ditubuhkan di bawah Perkara 43 Perlembagaan.

Khairuddin juga mahu pengisytiharan sama ke atas Zahid yang juga menteri dalam negeri.

Katanya, kedua-duanya menjadi pemegang jawatan dalam undang-undang awam dan mempunyai tanggungjawab untuk tidak memberi fakta salah, mengelirukan atau menipu rakyat berhubung isu material.

Khairuddin berkata, pada Mac 2013, sebanyak AS$681 juta (RM2.6 bilion) dimasukkan dalam akaun peribadi Najib, yang didakwanya milik 1MDB.

Katanya, beberapa kali Najib secara terbuka menafikan wang itu milik 1MDB, sebaliknya beliau mengumumkan wang itu datang daripada seorang penderma Arab Saudi.

“Sebenarnya, wang itu datang daripada sebuah syarikat bernama Tanore Corporation Finance yang dikawal Low Taek Jho atay Jho Low.”

Khairuddin berkata, Zahid juga secara terbuka mengumumkan di Dewan rakyat yang beliau sudah menemui penderma AS$681 juta itu.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *