Dulu lantik Apco sebagai Penasihat, kini benar Diplomat Israel masuk Malaysia

Terdedah maklumat bahawa antara punca kehadiran diplomat Israel ke Malaysia kerana ‘tekanan diplomatik secara terperinci’ yang dibuat oleh Israel ke atas Malaysia.

Ia susulan daripada pendedahan bahawa diplomat Israel berjaya menjijak kaki di bumi Malaysia menghadiri sidang rasmi selama seminggu di Kuala Lumpur dengan menggunakan pasport rasmi Israel, dalam keadaan Putrajaya dan Tel Aviv tidak mempunyai sebarang ikatan hubungan rasmi.

Difahamkan Israel membawa usul ini ke pejabat Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Anonio Guterres untuk menghadiri sidang Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-HABITAT) di Kuala Lumpur.

Kerajaan Malaysia nafi menjemput Israel datang, dengan berdalih menyatakan surat jemputan kepada Israel bukan ditandatangani oleh mana-mana pegawai Malaysia sebaliknya ia ditandatangani Pengarah Eksekutif UN-Habitat, selaras Perjanjian Negara Penganjur (HCA) yang dimeterai antara organisasi berkenaan dan Malaysia.

Adakah Datuk Seri Anifa Aman, Menteri Luar Malaysia tidak sedar atau buat-buat lupa bahawa kerajaan pimpinan Najib Razak mengguna khidmat Syarikat Apco Worldwide Sdn Bhd dalam melaksanakan perkhidmatan berkaitan komunikasi secara “menyeluruh,” selain melakukan program mempromosi dan mengurus imej negara di peringkat antarabangsa dan membayar upah.

Agensi itu bukan PBB yang jemput atau cadangkan kepada kerajaan Malaysia yang mana antara pengarahnya juga adalah Margery Kraus, CEO Apco dan invdividu penting yang terlibat dengan akaun di Israel dan salah seorang penasihat antarabangsa kepada Apco adalah Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel berpangkat Mejar Jeneral.

Sebegitu mudah alasan diberi untuk menghalalkan tindakan Israel berkampung di bumi Malaysia dan sebegitu mudah pula Wisma Putra mengizinkan mereka hadir dalam persidangan tersebut dan kenyataan penafian yang keluar dari mulut menteri hanya setaraf JKKK UMNO, ianya tidak menampakan kecerdikan berfikir seorang menteri.

Jika demikian, tidak ada beza antara pemimpin Malaysia dengan pemimpin Arab yang begitu kemaruk dan lunak dengan rejim Zionis Israel. Tidak menghairankan di saat umat Islam seluruh dunia memberontak melahirkan kemarahan, pemimpin Arab dengan selamba bersalaman, berdialog dan bersembang dengan ‘pembunuh’ rakyat Palestin.

GARANG DAN TEGAS NAJIB RAZAK HANYA ‘SANDIWARA POLITIK’

Rakyat dinyanyikan bahawa Putrajaya bernada keras terhadap Israel hingga mengadakan banyak himpunan, solidariti,solat hajat dan munajat, ceramah sebagai bukti betapa tegas dan kerasnya suara Malaysia, tiba-tiba atas satu tekanan PBB, Malaysia ‘lembik lutut’ terhadap Israel.

Mana suara lantang Perdana Menteri yang berdegar-degar mahu membela umat Islam Palestin? Kenapa di saat ini PM seperti ketakutan, tidak langsung bersuara menentang kehadiran mereka?

Mengapa tidak sekali ini pemimpin negara bersikap keras dan garang dengan tidak mengizinkan mereka hadir sebagai suatu tanda protes atas kekejaman yang Israel lakukan.

Jika inilah sikap kerajaan, jangan disalahkan negara umat Islam lain jika ada yang turut mengambil langkah seperti Malaysia membenarkan negara mereka dimasuki perwakilan Israel, membiarkan Israel membahas apa juga topik dan perbahasan sedangkan dalam masa yang sama mereka membunuh ribuan umat Islam di Palestin.

Memberikan hak mereka berucap atau menghadiri sebarang forum adalah seperti mengiktiraf negara haram Israel.

Pemimpin negara telah membuktikan bahawa mereka hanya bersikap retorik dan hipokrit hanya berani mengutuk dan mengecam dari kejauhan, tetapi apabila berada di depan mata, mereka diam seribu bahasa.

Jelaslah bahawa pemimpin UMNO bukanlah pembela sebenar umat Islam. Umat Islam yang beriya-iya memberikan harapan kepada UMNO kononnya demi umat Islam di negara ini telah tertipu hidup-hidup dan terpedaya dengan sandiwara politik murahan UMNO sedangkan Israel dekat di hati Najib Razak

>> Komentar bebas Dato’ Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena I 19 Februari 2018

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *