Pok Ya Cong Codei ubah hidup Imam Eah Chu yang giat bantu bina masjid

Biarpun sekadar memainkan peranan sampingan, fenomena telefilem Pok Ya Cong Codei rupa-rupanya tetap memberi impak kepada Mazlan Sulaiman yang memegang watak Eah Chu.

Antaranya adalah memudahkan usaha pelakon asal Tumpat, Kelantan itu yang sudah bertahun-tahun mengumpul dana bagi menyiapkan sebuah masjid di Takbai, Thailand.

Berperanan sebagai imam di sana, beliau berkata setakat ini sudah RM400,000 dibelanjakan dan sebanyak RM400,000 lagi diperlukan untuk menyiapkannya.

“Saya berusaha mencari dana untuk masjid ini sudah bertahun-tahun.

“Saya berulang-alik dari kampung saya di Tumpat ke Takbai sudah empat tahun, tambang perahu sahaja sudah RM600 sebulan tapi saya tetap menggalas tanggungjawab yang diberikan demi membina tunas Islam di kampung nelayan itu,” katanya seperti dipetik Sinar Harian, 14 Februari lalu.

Mazlan, 43, berkata usahanya itu dipermudahkan dengan baju T eksklusif Pok Ya Cong Codei yang dikeluarkan dengan izin syarikat produksi Balang Rimbun laris dijual.

“(Pengarah dan pelakon utama) Sabri (Yunus) terus menolong saya apabila RM1 daripada setiap helai baju T yang dijual disumbangkan ke masjid saya.

“Rezeki Allah datang dalam pelbagai saluran dan saya tak terfikir pun ia datang dengan cara ini,” katanya lagi seperti dipetik.

Beliau berkata Sabri turut membuat kutipan di kalangan rakan artis untuk disumbangkan kepada masjid itu.

Mazlan boleh dikatakan sebagai pelakon ‘bidan terjun’ apabila perkenalannya dengan Sabri membuka laluan baru dalam hidupnya.

Mengimbas kembali, Mazlan berkata dia pertama kali bertemu dengan Sabri ketika membantu pelakon itu dalam satu projek dokumentari tentang kemasukan Islam di Patani, Selatan Thailand.

Katanya lagi, mereka diperkenalkan melalui seorang kawan dan dalam masa seminggu sudah menjadi kawan baik.

Namun peluang menjadi pelakon hanya muncul apabila Sabri memintanya datang ke Kuala Lumpur. Ketika itu, katanya lagi, dia tidak mengesyaki apa-apa.

“Sabri mungkin perlu berbincang sesuatu dengan saya. Tiba-tiba saya diminta berlakon.

“Saya terkejut besar kerana ini bukan bidang saya, saya hanya tok imam dan tak pernah berlakon,” katanya lagi.

Dan kini, kata Mazlan, ke mana saja dia pergi sama ada di Malaysia atau Selatan Thailand dia disapa dengan pangglian Eah Chu, watak samseng yang dilakonkannya dalam telefilem luar biasa itu.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *