Siasat Exco Kerajaan Pulau Pinang 12 jam tidak wajar, kata MP Sepang

KUALA LUMPUR: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat seorang Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang sehingga 12 jam amat tidak wajar, kata peguam Mohamed Hanipa Maidin.

Ahli parlimen Sepang itu berkata, beliau tidak mempertikai hak SPRM untuk soal siasat mana-mana orang yang mereka rasa wajar diambil keterangannya.

“Namun, bila membaca laporan media seorang exco Pulau Pinang dikatakan disoal siasat selama 12 jam oleh SPRM (9 am – 9 pm), saya rasa, ianya amat tidak wajar sama sekali,” katanya.

Kata beliau, jika betul laporan itu, bagi beliau, ia amat tidak patut dan amat tidak munasabah untuk apa sebab sekalipun.

“SPRM kena ingat yang disiasat itu manusia bukan robot,” katanya.

Lagi satu, katanya, SPRM kena ingat betul-betul bahawa mereka ada sejarah buruk sebelum ini iaitu orang meninggal dunia selepas dipanggil untuk disoal siasat oleh mereka.

“Takkan SPRM nak lihat ada orang mati lagi lepas ini? InsyaAllah saya akan bangkit ” tatacara” siasatan SPRM ini dalam sidang Parlimen ini, jika ada peluang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, yang pelik adalah rakyat negara ini tdiak mendengar SPRM menyoalsiasat derma RM2.6 bilion yang masuk ke akaun pribadi perdana menteri.

“Anyway, kenapa ya kita tak dengar SPRM soal siasat orang yang terima kononnya derma 2.6b ( yang dalam definisi Akta SPRM, tak silap saya, sogokan (bribery) juga merangkumi derma) jauh sekali disiasat 9 jam.

“Hatta dalam kes sebegitu pun saya tak setuju soal siasat hingga 9 jam,” katanya.

Beliau menyindir, dalam isu melibatkan kerajaan Pulau Pinang ini nampaknya SPRM kerja kuat betul.

“Baguslah tapi kena fair (adil) dan dilihat fair (adil) lah.Itu je,” kata beliau menerusi facebooknya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *