Prosedur ‘urut jari’ diperkenal SPR dalam PRU14 didakwa akan tambah masalah

KUALA LUMPUR: Pengenalan prosedur “urut jari” oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak sensitif budaya, kata pemerhati pilihan raya PY Wong.

Pengasas Tindak Malaysia itu berkata tanpa mengira kaum, prosedur tersebut boleh menyinggung perasaan sesetengah pengundi dan mungkin menyebabkan mereka tidak mahu keluar mengundi, lapor FMT.

“Ini akan menyebabkan ketidakselesaan tanpa mengira sama ada pegawai yang bertugas itu lelaki atau perempuan. Khususnya pengundi wanita, mereka akan berasa tidak selesa,” katanya.

Semalam SPR mengumumkan kaedah “urutan jari” pada pilihan raya umum Ke-14 (PRU14) bagi mengelak sebarang penipuan semasa proses pembuangan undi.

Pendaftar Akademi Pilihan Raya SPR Nik Aminudin Nik Shahar Shah berkata menerusi prosedur baharu itu, kerani bertugas di pusat pengundian akan memeriksa kedua-dua belah jari pengundi dengan lebih teliti untuk memastikan mereka tidak memakai sarung pada jari atau mempunyai kesan dakwat.

“Kerani yang bertugas akan memakai sarung tangan untuk memeriksa jari pengundi sebelum mereka dibenarkan mencelup jari ke dalam botol dakwat pilihan raya dan langkah ini kita lakukan memandangkan pada masa sekarang sudah ada sarung jari tiruan,” katanya.

Wong berkata prosedur baharu itu akan mengganggu tempoh masa yang singkat untuk pengundi membuang undi pada hari pengundian.

“Terdapat pengundi yang tidak dapat mengundi tepat pada waktunya sejak SPR begitu tegas menghentikan semua proses undian pada jam 5.00 petang.

“Dengan prosedur baharu ini, ia hanya akan mengambil masa yang lebih panjang. Jika SPR berkeras mahu melaksanakannya, mereka perlu mempertimbangkan untuk melanjutkan waktu pengundian hingga jam 7.00 malam.

Apabila ditanya sama ada prosedur baharu ini boleh menangani kebimbangan mengenai penipuan, Wong berkata prosedur itu sebaliknya akan mewujudkan lebih banyak masalah.

“Mereka perlu menangani masalah itu iaitu penggunaan dakwat kekal. Dakwat kekal tidak mengambil kira pengundi pos dan pengundi awal di Malaysia.

“Katakanlah jika pengundi pos dan pengundi awal diberi dakwat seminggu awal, bolehkah dakwat itu bertahan dalam tempoh yang lama? Itu satu kebimbangan yang belum ditangani sehingga hari ini,” katanya.

Satu lagi masalah yang boleh mengganggu proses pengundian adalah kaedah pengundian serentak yang dijalankan pusat pengundi tertentu.

“Ini terjadi apabila terlalu ramai pengundi muncul di slot masa tertentu.

“Ini boleh menimbulkan banyak masalah kerana pemantauan proses membuang undi tidak boleh dilakukan dengan baik dan proses membuang undi mungkin bertukar huru-hara,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *