Pakatan Harapan Parlimen Parit akan pastikan Hospital Seri Iskandar jadi kenyataan

Lebih 35 ribu pengundi dalam Parlimen Parit hanya dapat menggigit jari menanti siapnya pembinaan Hospital Seri Iskandar yang dijanjikan oleh UmnoBN sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lagi. Kini menjelang PRU14 apa yang dijanjikan oleh UmnoBN masih belum menjadi realiti, malah, ia menjadi ‘game’ biasa bagi BN untuk meraih sokongan pengundi.

AMANAH Parlimen Parit akan menubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi menyiasat punca kelewatan pembinaan Hospital Daerah Seri Iskandar yang dijanjikan UmnoBN sejak PRU12 lagi. Jawatankuasa ini akan bergabung bersama parti-parti politik serta badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin bagi mendesak Kerajaan BN mempercepatkan pembinaan demi kemudahan rakyat.

Isu ini sebenarnya bukan isu politik atau isu kitar semula tetapi ia adalah isu rakyat yang inginkan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik setelah menyedari Hospital Desa Changkat Melintang sudah tidak mampu menampung keperluan dengan serba-serbi kekurangan.

Namun, para penduduk Parlimen Parit berasa tertipu dan kecewa dengan sikap flip flop pemimpin UmnoBN yang berdolak dalik dalam menunaikan janji mengenai Projek Pembinaan Hospital Seri Iskandar yang diuar-uarkan sejak PRU12 dan dicanang lagi pada PRU13 yang lalu.

Menurut laporan media pada 8 Mac 2017, MB Perak, Datuk Seri Zamry Abdul Kadir telah mendesak Kerajaan Persekutuan menyegerakan pembinaan Hospital Daerah Perak Tengah di Seri Iskandar yang merupakan salah satu janji dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Ini sangat berbeza dengan pengumuman Ahli Parlimen Parit, Datuk Zaim Abu Hassan seperti yang dilaporkan akhbar _Sinar Harian_ bertarikh 7 September 2016, yang bercakap dengan yakin upacara pecah tanah dan pembinaan hospital pasti dibuat pada Februari 2017, sedangkan Zamry memberitahu Hospital Seri Iskandar kini di peringkat reka bentuk yang dijangka siap pada Mei tahun ini.

Dalam kenyataan Zamry kepada pemberita selepas merasmikan Program Mini Karnival Teras Keselamatan di SMK Layang-Layang Kiri, Parit pada Rabu, 8 Mac 2017 itu juga memaklumkan, beliau telah berbincang dengan Bahagian Kesihatan JKR dan Kementerian Kesihatan akan membuka tender untuk pembinaan hospital tersebut.

Sedangkan dalam laporan akhbar _Sinar Harian_ bertarikh 7 September 2016, Datuk Zaim memberitahu, majlis pecah tanah dan pembinaan hospital bakal dimulakan Februari 2017 dan kontraktor juga sudah dilantik. Beliau bercakap perkara ini pada Program Sehari Bersama Warga Emas anjuran Klinik Kesihatan Bota Kiri bersama Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bota Kiri di Akademi Latihan Kemas.

AMANAH dan penduduk dalam Parlimen Parit sebenarnya keliru dengan dua kenyataan bercanggah antara MB Perak dan Ahli Parlimen Parit berkenaan Projek Pembinaan Hospital Seri Iskandar ini yang yang telah dilulus di atas tanah seluas 12.1 hektar di bekas tapak Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Seri Iskandar yang menelan kos RM150 juta dan bakal memuatkan 150 katil.

Namun, sehingga hari ini 13 Februari 2018, bayang hospital baharu itu langsung tidak kelihatan, baik rataan tapak projek apatah lagi rangka bangunan, walaupun Datuk Zaim yakin dalam kenyataannya projek ini dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Jadi apa asas Datuk Zaim mengumumkan kepada orang ramai bahawa pembinaan Hospital Seri Iskandar akan dimulakan pada Februari 2017, peruntukan RM150 juta sudah diluluskan, dan kontraktor telah dilantik jika pada 8 Mac 2017 lalu, MB Perak memberitahu Hospital Seri Iskandar kini di peringkat reka bentuk yang dijangka siap pada Mei tahun ini dan beliau sendiri telah berbincang dengan Bahagian Kesihatan JKR dan Kementerian Kesihatan akan membuka tender untuk pembinaan hospital.

Untuk menyelesaikan isu ini, AMANAH dan Pakatan Harapan Parlimen Parit berjanji akan melaksanakan pembinaan Hospital Seri Iskandar ini jika rakyat memberi peluang kepada Pakatan Harapan mentadbir negara selepas PRU14. Walaupun BN menguasai kerajaan kini, tetapi terbukti mereka tidak mampu untuk menepati janji yang dicanang sejak 10 tahun yang lalu.

Malah Datuk Zaim sehingga hari ini gagal memberi penjelasan mengapa pembinaan hospital tersebut yang sepatutnya dimulakan pada Februari 2017, kini berlarutan kepada satu tarikh yang tidak diketahui. Dan apa yang terjadi kepada peruntukan RM150 juta itu serta bagaimana nasib kontraktor yang dikatakan telah dilantik terdahulu, seperti yang diumumkan beliau.

>> Komentar bebas Tarmizi Mohd Jam, Timbalan Pengerusi AMANAH WP, Naib Pengerusi Pakatan Harapan WP dan Koordinator AMANAH Parlimen P.069 Parit I 14 Februari 2018

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *