Kerajaan digesa jalin kerjasama diplomatik dengan negara OIC tangani pelarian Uighur

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengunakan saluran diplomatik dalam mendapatkan kerjasama daripada Pertubuhan Negara-negara Islam ((OIC) untuk menangani pelarian Uigher di negara ini.

Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud berkata, saluran diplomatik itu perlulah pelbagai untuk menangani masalah tersebut.

“Saya juga ingin mengulangi gesaan Human Right Watch (HRW) supaya kerajaan membenarkan kumpulan etnik ini mendapatkan akses yang adil untuk menentukan status pelarian mereka dan bukannya turut dihantar pulang ke China.

“Langkah ini sesuai dengan undang-undang antarabangsa yang tidak membenarkan tahanan dihantar secara paksa ke mana-mana tempat yang berpotensi untuk dikenakan sebarang penindasan yang bercanggah dengan hak asasi manusia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dr Mariah yang juga Ketua Angkatan Wanita AMANAH (Awan) Nasional turut berpandangan Beijing mempunyai rekod yang kurang memuaskan terhadap isu hak asasi manusia.

Justeru beliau berkata, Malaysia perlu menjadikan ia sebagai garis sempadan untuk membuat keputusan yang penting bagi umat Islam Uighur ini.

“Banyak laporan yang diterbitkan menunjukkan bagaimana umat Islam di China ditindas oleh kerajaan termasuk dihalang melakukan ibadah puasa,berjanggut dan menyimpan objek yang berunsurkan Islam.

“Saya khuatir jika tuduhan bahawa kumpulan etnik Uighur itu terbabit dengan kumpulan pengganas Daesh hanyalah alasan semata-mata yang tidak dibuktikan kebenarannya.

“Saya berharap Perdana Menteri boleh bertindak melangkaui kepentingan ekonomi dua hala dan menggunakan hubungan baik dengan kerajaan China untuk mendapatkan jaminan keselamatan ke atas golongan etnik Uighur itu,” ujarnya.

Sebagai rekod Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada September lalu, dipetik berkata Malaysia menahan 29 “militan Uighur” yang terlibat dengan IS.

Zahid berkata China memuji Malaysia atas penangkapan itu dan menjalinkan kerjasama 2 hala dalam keselamatan sejak hubungan diperkuatkan.

Etnik Uighur adalah kumpulan majoriti di wilayah Xinjiang, China yang mempunyai penduduk majoriti Islam.

China dituduh melakukan pelanggaran hak asasi manusia di Xinjiang dengan menyeksa tahanan Uighur dan melaksanakan kawalan ketat terhadap agama dan budaya mereka. Bagaimanapun, negara itu menafikan sebarang tuduhan.

Pada 9 Januari lalu, sebuah pertubuhan hak asasi manusia global Human Rights Watch (HRW) dalam kenyataan pertubuhan itu menggesa Malaysia tidak mengusir 11 etnik Uighur Islam dari China yang dilaporkan ditahan di Malaysia, selepas melarikan diri dari penjara Thailand tahun lalu.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *