Tindak-tanduk Shafee sendiri dorong usul pada Badan Peguam kata Ambiga

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan semalam diberitahu bahawa usul Tommy Thomas terhadap Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Badan Peguam Malaysia pada 2015 dibuat susulan tindak tanduk Shafee sendiri.

Peguam Tommy, Datuk Ambiga Sreenevasan dalam penghujahannya berkata Shafee adalah pendakwa ad hoc dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ambiga berhujah demikian dalam rayuan Shafee dalam saman fitnah terhadap Tommy, bekas hakim Mahkamah Rayuan VC George, Badan Peguam Malaysia dan presidennya ketika itu Christopher Leong kerana membentangkan usul itu dalam AGM.

Ambiga berkata, selepas Shafee berjaya dalam sabitan terhadap Anwar di Mahkamah Persekutuan, dia memberikan wawancara kepada akhbar cetak dan atas talian dan terlibat dalam siri jelajah membincangkan kes itu, lapor Malaysiakini.

Siri pertama berlangsung di Kelana Jaya dan dianjurkan oleh Umno, kata Ambiga.

“Bolehkah pendakwa ad hoc memihak kepada sesebuah parti politik dalam hal ini?” katanya di hadapan tiga panel hakim diketuai oleh Datuk Wong Dak Wah.

Hakim-hakim lain termasuk Datuk Umi Kalthum Abdul Majid dan Datuk Ahmadi Asnawi.

Sebelum acara di itu, kata Umno, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin “mengiklankan” kepada pengkritik dan mencabar mereka bertanya soalan berkaitan kes itu.

“Dua ratus orang hadir mendengar ucapan itu dan strim langsung dibuat, yang Shafee bukan hanya bincangkan kes itu tetapi juga prosiding in camera (prosiding secara tertutup).

“Tindak tanduk plaintif sendiri yang mencetuskan notis usul itu dibuat kerana beliau telah mencemarkan profesion undang-undang.

“Shafee beritahu penonton dia sedia berdebat dengan sesiapa sahaja, termasuk Majlis Peguam Malaysia berkaitan sabitan itu, tetapi dia tidak bersedia pula untuk hadir ke mesyuarat Badan peguam Malaysia untuk mempertahankan diri,” katanya.

Dalam samannnya, Shafee mengadu defendan-defendan bertindak dengan mala fide (berniat jahat) dan ultra vires (melampaui kuasa) terhadap haknya dengan mahu membentangkan usul itu di AGM walaupun dia sebelum ini mendapat perintah injunksi.

Shafee kalah saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mei 2016.

Dalam rayuannya, Shafee yang mewakili dirinya sendiri berkata usul dibentangkan itu mencabul haknya bawah Perkara 5 (kebebasan diri) dan Perkara 8 (kesamarataan) Perlembagaan Persekutuan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *