Puad Zarkashi dibidas, Adun gesa tutup JASA jika serius mahu tangani berita palsu

KUALA LUMPUR: Kerajaan patut menutup Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) jika benar-benar serius untuk menangani berita palsu, kata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai Wong Shu Qi.

Jika kerajaan ingin mengharamkan penyebaran berita palsu pula, maka Ketua Pengarah JASA Datuk Mohd Puad Zarkashi adalah individu pertama yang perlu ditahan, katanya lagi.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai Wong Shu Qi

“Tindakan Puad yang menyifatkan berita palsu sebagai ‘jenayah berat’ memang mengejutkan, memandangkan JASA adalah unit propaganda kerajaan dan menyebarkan maklumat yang salah.

“Jika kerajaan serius untuk menghentikan berita palsu dan maklumat salah, JASA patut dibubarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan Oriental Daily, Puad mendakwa tindakan menyebarkan berita palsu adalah satu jenayah, sama seperti membunuh dan mencuri, kerana ia berisiko menjejaskan ketenteraman awam.

Wong mendakwa walaupun JASA adalah sebuah agensi kerajaan, ia terlibat dalam propaganda berpihak dengan menyebarkan mesej-mesej anti-Pakatan Harapan (HARAPAN) menerusi Whatsapp.

Beliau membangkitkan beberapa contoh terbaru, seperti artikel bertajuk “Rafizi tidak layak untuk mendapat simpati orang ramai atas hukuman penjara 30 bulan” dan “Insentif Pakatan Harapan: Satu lagi janji bohong dan retorik”.

Artikel kedua menuduh pembangkang gagal menunaikan janji pada pilihan raya umum (PRU) sebelum ini, seperti menaikkan gaji penjawat awam.

“Ia tidak dilaksanakan kerana kami tidak menang PRU dan masih sebagai pembangkang. Ia di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Tetapi JASA memanipulasikannya untuk menyerang HARAPAN,” katanya.

Awal bulan ini, kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji undang-undang baru untuk membendung berita palsu.

Pembangkang menyatakan kerisauan mereka bahawa langkah itu adalah usaha kerajaan untuk menutup maklumat dan suara yang tidak berpihak kepada mereka.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *