Mahkamah benar Zunar cabar keputusan haramkan karya kartun hentam kerajaan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam membenarkan kartunis Zunar mencabar keputusan kerajaan mengharamkan salah satu karyanya, “Sapuman: The Man of Steal”, yang mengandungi koleksi kartun menghentam pimpinan Barisan Nasional.

Peguam N Surendran, yang mewakili Zunar atau Zulkiflee SM Anwarul Haque, berkata hakim Datuk Azizah Nawawi membenarkan Zunar meneruskan semakan semula kehakiman untuk membatalkan arahan Kementerian Dalam Negeri tahun lalu, lapor Malaysiakini.

Menurut Surendran, Jabatan Peguam Negara juga tidak membantah permohonan Zunar. Mahkamah menetapkan 27 Februari sebagai tarikh pengurusan kes.

Bulan lalu, Zunar memohon mendapatkan perintah mahkamah membatalkan pengharaman ke atas “Sapuman” di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dengan alasan ia menyalahi undang-undang itu di samping Perkara 5, 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan.

Zunar mendakwa KDN berniat buruk dalam mengharamkan karya itu, dan menambah beliau juga tidak dimaklumkan mengenainya.

“Saya terkejut apabila mendapat tahu kementerian sudah mengharamkan buku saya walaupun ia sudah pun dijual sejak 2015,” kata Zunar dalam afidavitnya.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim sebelum ini berkata karya itu diharamkan kerana mengancam keamanan.

Menurut Zunar, tindakan itu memberi kesan kepada pendapatannya. Kerajaan sudah mengharamkan 9 karya Zunar, termasuk 3 pada tahun lalu.

Sebelum ini, Zunar mencabar keputusan mengharamkan “1 Funny Malaysia” dan “Perak Darul Kartun” pada 2010.

Mahkamah Rayuan pada 2014 membatalkan pengharaman itu dan mengarahkan KDN memulangkan naskhah yang dirampas.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *