Kasih sayang bukan lagi keutamaan Pas, guna walak untuk ikat dan ‘ugut’ ahli-ahlinya

Walak ialah satu doktrin penting dalam perbahasan akidah Islam. Al-Walak menuntut ketaatan dan kecintaan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT dan Rasul SAW dalam menyempurnakan arahan dan tuntutan agama.

Manakala, al-Barak adalah menjauhi, berlepas diri serta membenci perkara yang bertentangan dengan arahan dan tuntutan Islam. Justeru, al-Walak dan al-Barak merupakan kata kunci yang merumuskan garis pemisah di antara daerah iman dan kufur bagi seorang Muslim.

Malangnya, konsep-konsep ini, al-Walak khususnya sering kali dijadikan oleh PAS untuk mengikat dan ‘mengugut’ ahli-ahlinya agar tidak keluar parti dan menyokong parti-parti lain.

Daripada berusaha meyakinkan ahli-ahli dengan mengemukakan idea-idea politik bernas, menawarkan kualiti dan model pentadbiran yang memajukan negara, pimpinan dan ulamak PAS mengambil jalan pintas dengan menyalahgunakan konsep walak.

Sanggahan pandangan dan tindakan politik presiden misalnya hanya dibenarkan dalam mesyuarat. Menegur di luar mesyuarat itu hukumnya haram kerana kononnya tidak menepati disiplin agama.

Menuntut presiden untuk berundur daripada jawatan juga adalah haram kerana bagi mereka jawatan itu ibarat jubah yang dipakaikan oleh Tuhan. Jika Saidina Uthman, khalifah al-Rasyid ketiga kekal mempertahankan jawatan sehingga mati dibunuh maka demikian juga selayaknya untuk presiden mereka.

Ulamak silam nafikan

Amat malang apabila pengikut PAS dengan mudah ditakut-takutkan dengan ugutan dosa, munafik, bahkan ke tahap menjadi kafir apabila gagal menyerahkan ketaatan kepada pimpinan parti.

Adalah tidak salah untuk memantapkan kekukuhan sesebuah organisasi hasil dari kemantapan kerjasama dan persefahaman ahli organisasi.

Namun tindakan mengugut ahli bawahan supaya tidak melontarkan persoalan ‘mengapa’ terhadap tindakan dan keputusan pimpinan dengan alasan walak adalah sama sekali salah.

Hal ini semuanya berjaya dilakukan kepada ahli-ahli PAS dengan memanipulasi ayat-ayat al-Quran dan hadis. Antara dalil yang sering kali digunakan untuk tujuan ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Sabda Nabi SAW: “Hendaklah kamu beriltizam dengan jama‘at al-Muslimin dan imam (pemimpin) mereka”.

Hakikatnya, fatwa politik bahawa PAS adalah jamaah al-Muslimin berdasarkan hadis ini hanya disokong oleh ulamak-ulamak parti yang berkepentingan.

Selain daripada para ulamak silam yang menafikan perkara ini, tokoh-tokoh gerakan Islam moden yang juga ulamak terbilang seperti Sa‘id Hawwa dan Muhammad Abd al-Qadir Abu Faris tidak menganggap gerakan dakwah atau politik yang wujud hari ini sebagai Jamaah al-Muslimin tetapi jama‘at min jama‘at al-Muslimin (satu kumpulan dari jama‘at al-Muslimin).

Inilah pandangan yang bukan sahaja tepat bahkan mampu menjaga ukhwah persaudaraan sesama muslim dalam pertarungan idea politik dan perebutan kuasa.

‘Perseteruan’ merebut kuasa di kalangan kelompok-kelompok Islam di zaman moden bakal didorong dek kehendak memenuhi tuntutan agama untuk ‘fastabiq al-Khairat’ (berlumba membuat kebaikan).

Membawa bala

Rakyat Malaysia harus tahu bahawa walak PAS ini sebenarnya satu bala yang merugikan mereka.

Exco Kerajaan negeri Kelantan, Datuk Che’ Abdullah Mat Nawi baru-baru ini dilaporkan di media sebagai berkata bahawa tiada peruntukan wang kerajaan untuk pembangunan akan diberikan kepada wakil rakyat pembangkang walaupun mereka adalah wakil rasmi yang dipilih rakyat.

Keputusan diskriminasi ini diambil semata-mata kerana kepentingan politik sempit yang jelas bertentangan dengan perintah agama yang mewajibkan hak ditunaikan kepada mereka yang berhak.

Amat sukar untuk memikirkan bahawa polisi zalim ‘kerajaan Islam’ Kelantan ini akan diubah segera kerana ulamak-ulamak PAS sudah biasa diam seribu bahasa semuanya kerana al-Walak.

Perpaduan umat Islam juga menjadi amat sukar dicapai apabila para pemimpin PAS dengan mudah melabel sebahagian umat Islam yang memilih wadah politik lain seperti AMANAH sebagai ‘barua’, ‘jebon’, dan ‘munafik haraki’.

Tindakan para pemimpin PAS ini walaupun bercanggah dengan akhlak Islam dan tata susila Melayu jelas direstui tanpa banyak soalan kerana walak adalah segala-galanya.

Episod hitam ini jelas menunjukkan bahawa soal perpaduan dan kasih sayang sesama Muslim tidak lagi menjadi keutamaan pertimbangan PAS.

Bahkan lebih teruk daripada itu, rakyat akan terus terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi dan negara kekal dirundung malang apabila Najib dan Umno kekal berkuasa kerana tindakan pemimpin PAS yang menggesa ahli-ahlinya untuk memencil diri daripada gabungan besar pembangkang.

Walak PAS sememangnya membawa bala.

>> Komentar bebas Abu Hafiz Salleh Hudin, Timbalan Pengerusi Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia I 14 Februari 2018

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *