Haram pengundi sokong kempen boikot atau rosakkan undi, kata Mufti WP

KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata haram untuk pengundi menyokong kempen memboikot atau sengaja merosakkan undi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Kami cenderung menyatakan haram merosakkan undi. Begitu juga haram hukumnya daripada sudut syarak tidak mengundi dan mendaftarkan diri sebagai pengundi,” tulisnya di Facebook.

“Sehubungan dengan itu, kami menyeru semua warganegara Malaysia yang layak mengundi agar mendaftarkan diri dengan segera untuk mengundi sempena PRU14 dan melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan mengundi calon yang diyakini menjaga 5 Dharuriyyat al-Khams iaitu agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta.”

Media sebelum ini melaporkan gerakan memboikot atau sengaja merosakkan undi pada PRU14 tersebar di laman media sosial dengan hashtag #UndiRosak, #SpoiltVote dan #ProtesPRU.

Kempen itu yang menjadi subjek perdebatan hangat di media sosial baru-baru ini, dikritik pemimpin daripada parti pemerintah dan pembangkang, termasuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad yang menuduh pemimpin Umno di sebalik kempen itu.

Kempen itu muncul sebagai tanda protes terhadap BN dan PH, selepas Dr Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri gabungan 4 parti pembangkang itu pada 7 Januari lalu.

Pada 26 Januari lalu, aktivis, Maryam Lee dilaporkan berkata, kempen #UndiRosak semakin mendapat tempat di kalangan orang muda, dengan sokongan paling banyak di Kuala Lumpur kerana orang muda “letih” dengan permainan politik kedua-dua pihak.

Pada 3 Februari lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, haram bagi orang Islam melaksanakan agenda memulau pilihan raya atau merosakkan undi.

Katanya, tindakan itu bermakna jumud dan tidak bersedia membuat perubahan politik, selain menarik diri daripada tanggungjawab menentukan nasib serta hala tuju masyarakat.

“Kalangan umat Islam yang memulau pilihan raya atau merosak undi adalah menyerah kalah sehingga penentuan kuasa politik diserahkan kepada bukan Islam yang menjadi salah satu dosa paling besar.

“Perkara inilah yang sangat dikehendaki oleh musuh Islam di dalam negara atau di luar negara. Maka kalangan yang melaksanakan kempen memulau pilihan raya sama ada kerana bodoh dan jahilnya atau kesediaannya menjadi alat bagi memberi laluan mudah kepada musuh Islam dan musuh negara,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin dilaporkan berkata, kempen itu cuba mendorong generasi muda mengikut “rentak songsang” ketika negara bersiap sedia menghadapi PRU14.

Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula berkata, PH perlu meyakinkan penyokong #UndiRosak menyokong gabungan pembangkang itu kerana setiap orang ada hak mencorakkan masa depan negara.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *