Bina sekolah agama berkualiti ubah persepsi buruk masyarakat, gesa Khalid Samad

KUALA LUMPUR: Amanah menggesa kerajaan membina lebih banyak sekolah agama berkualiti tinggi dan menaik taraf sekolah agama sedia ada kepada piawaian yang boleh diterima.

Pengarah Komunikasi Amanah Nasional, Khalid Samad, memberitahu FMT terdapat kekurangan sekolah seperti itu walaupun terdapat permintaan tinggi daripada ibu bapa Islam.

“Di sini, kerajaan sudah gagal,” katanya.

“Kerajaan tahu terdapat permintaan tetapi tidak cukup menyediakannya.”

Khalid mengulas dakwaan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mengatakan sekolah tahfiz dipandang sesetengah orang sebagai tempat kanak-kanak bermasalah disiplin atau mempunyai pencapaian akademik lemah.

“Mentaliti seperti ini harus berubah jika mahu mengekalkan kualiti institusi agama seperti sekolah tahfiz,” kata Johari pada sesi dialog bersama penduduk Titiwangsa.

Khalid yang juga wakil rakyat Shah Alam berkata tanggapan negatif terhadap sekolah tahfiz wujud kerana pada satu masa dahulu ramai ibu bapa menghantar anak mereka yang bermasalah ke sana.

“Keluarga yang tidak berada juga akan menghantar anak mereka untuk dididik di sekolah tahfiz,” tambahnya.

“Itulah sejarahnya.”

Bagaimanapun, perkara ini sudah jarang berlaku.

Katanya, kesedaran agama dalam kalangan orang Islam sudah meningkat dan ramai ibu bapa berminat menghantar anak mereka ke sekolah agama, terutama sekolah agama yang menawarkan pembelajaran bersepadu.

Beliau memberi contoh Sekolah Rendah Agama Integrasi di Shah Alam yang menurutnya mencatatkan permintaan kemasukan hampir mencecah 6 kali kapasitinya.

“Kita perlukan lebih banyak sekolah seperti ini,” katanya.

“Jika kerajaan serius dalam mengubah tanggapan terhadap sekolah agama, pihaknya perlu menaik taraf kemudahan dan kurikulumnya. Dan lebih banyak sekolah agama pintar perlu dibina,” katanya lagi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *