Aura Tun Mahathir goncang langkah sumbang Najib Razak hadapi PRU14

AMANAH Wilayah Persekutuan mengalu-ngalukan kesediaaan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku calon Perdana Menteri Pakatan Harapan untuk “menyelesaikan masalah yang ditinggalkan” Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh 2 tahun berdasarkan pengalaman memimpin negara selama 22 tahun sejak 1981 hingga 2013.

Menerusi “Policy Talk – Governans & Ekonomi” yang disiarkan secara langsung di Facebook baru-baru ini, Tun Dr Mahathir yakin dalam tempoh tersebut beliau dan Pakatan Harapan mampu menyelesaikan masalah yang ditinggalkan Najib dan boleh membuat garis panduan untuk penyelesaian masalah jangka panjang.

Pengakuan Tun Dr Mahathir ini sekaligus membukitkan kepercayaan rakyat terhadap potensi Pakatan Harapan yang kini menjadi kerajaan menunggu untuk mengambilalih tampuk kekuasaan Putrjaya selepas PRU14 nanti.

Pengerusi Pakatan Harapan itu megakui sudah mengenal pasti masalah dan langkah yang perlu diambilnya, jika Pakatan Harapan memenangi PRU14 termasuklah pengasingan peranan antara Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta mengurangkan saiz kabinet tidak melebihi 35 orang. Beliau juga mengumumkan gabungan pembangkang itu akan mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada 2 penggal atau 10 tahun sahaja.

AMANAH Wilayah Persekutuan juga sependapat dengan Tun Dr Mahathir bahawa lambakan menteri dan timbalan menteri dalam kabinet ketika ini bukan keperluan mendesak, sebaliknya hanya bertujuan untuk menambah pendapatan pemimpin dan mengawal kuasa yang ada di tangan Perdana Menteri, selain ianya membazirkan duit rakyat.

Semenjak Tun Dr Mahathir diumumkan sebagai calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan awal Januari lalu, dakyah jahat UmnoBN kononnya jika Pakatan Harapan menang DAP akan jadi Perdana Menteri berjaya dilenyapkan sekalipun ia terus diputar oleh Umno di kampung-kampung.

Jika pilihan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri tidak tepat, sudah tentu UmnoBN akan bergembira dan menutup mulut daripada terus mengulas isu ini tetapi malangnya, para pemimpin UmnoBN gagal untuk menutup rasa cemas dan terancam mereka dengan kembalinya Tun Dr Mahathir sebagai orang nombor satu negara selepas PRU14 nanti.

Rata-rata rakyat sedar dan melihat bagaimana sejak negarawan berusia 93 tahun itu diisytihar sebagai calon Perdana Menteri, pemimpin dan penyokong tegar UmnoBN mengelupur tidak ketahuanhala ibarat yang bisu boleh bercakap, yang buta boleh melihat dan yang pekak dapat mendengar. Semua mereka muncul memberi komen dan tiba-tiba marah dengan perisytiharan tersebut.

Najib mempunyai masa sehingga 24 Jun ini untuk mengadakan PRU14 atau Parlimen akan terbubar secara automatik dan pilihan raya perlu diadakan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran itu. Ini bermakna tempoh yang ada cuma tinggal 4 bulan 12 hari sahaja lagi.

AMANAH Wilayah Persekutuan yakin kegagalan Najib mencari tarikh yang tepat untuk diadakan pilihan raya berpunca daripada pelbagai isu yang yang tidak menyebelahi BN, dan pada masa yang sama Pakatan Harapan semakin mantap dengan keberanian Majlis Presiden Pakatan Harapan mengumumkan agihan kerusi parlimen dan mengisytiharkan calon Perdana Menteri dan Timbalannya lebih awal, yang tidak pernah berlaku dalam pakatan pembangkang sebelum ini.

>> Komentar bebas Tarmizi Mohd Jam, Timabalan Pengerusi Amanah WP, Naib Pengerusi Pakatan Harapan WP dan Koordinator Amanah P.069 Parit I 12 Februari 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *