Pemuda AMANAH desak kerajaan segera tubuh RCI siasat skandal tanah Felda

PERMATANG PAUH: Pemuda AMANAH Nasional mendesak kerajaan supaya segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat mengenai kehilangan tanah milik Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Ketuanya, Mohd Sany Hamzan berkata demikian ketika ditemui semasa mengedarkan risalah ‘Tawaran Harapan Anak Muda’ di Pekan Permatang Pauh semalam, lapor Malaysia Dateline.

Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Sany Hamzan

Jelas beliau lagi terdapat seribu satu macam keraguan apabila Tan Sri Shahrir Samad mendakwa bahawa tanah-tanah milik Felda tersebut telah dikembalikan.

“Seharusnya Umno yang mendakwa menjaga kepentingan orang Melayu mengambil tindakan segera bagi memastikan tanah milik Felda ini tidak hilang.

“Malah dalam perhimpunan agung Umno yang lalu pun acapkali mereka melaung-laungkan menjadi parti yang membela hak dan kepentingan orang Melayu.

“Namun begitu walaupun jelas terserlah sudah ada bukti mengenai penyelewengan tanah milik Felda tersebut, Umno masih gagal untuk menjaga kepentingan yang sering mereka perkatakan, ” ujarnya lagi.

Kata Sany lagi, apa yang sedang dipertontonkan oleh pimpinan Umno termasuklah Presidennya, hanyalah sifat tidak bertanggungjawab mereka dalam memperjuangkan isu melibatkan kepentingan orang Melayu.

“Kesemua mereka yang terlibat dalam isu skandal tanah tersebut adalah pimpinan Umno dan Barisan Nasional dan bukannya pimpinan Pakatan Harapan.

“Generasi peneroka Felda harus melihat perkara ini dengan lebih serius dalam kerangka jangkamasa panjang.

“Mereka yang terlibat harus diheret ke muka pengadilan dan didakwa dan bukannya hanya setakat reman, bebas dan lepas, ” tegasnya lagi.

Pendedahan yang telah dibuat oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menunjukkan geran hak milik kesemua 16 lot tanah Felda yang didakwa dipindahkan kepada pemaju, Synergy Promenade Sdn Bhd belum dipindah milik kepada Felda.

Apa yang didedahkan oleh Naib Presiden PKR tersebut juga membuktikan bahawa Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd memiliki satu lot.

Manakala Synergy Promenade Sdn Bhd pula menjadi pemilik kepada 15 lagi lot tanah yang lain serta masih lagi menjadi hak milik pemaju.

“Tanah yang diambil tanpa pengetahuan Felda ini telah menjadi polemik yang berpanjangan sehingga menghilangkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

“Oleh kerana itu selagi isu ini belum diselesaikan dan menjadi konflik yang begitu serius, rakyat harus membuat percaturan yang betul dan cermat.

“Pengurusan, kepimpinan dan pentadbiran yang dipamirkan kini mendedahkan begitu banyak salah laku serta kelemahan urus tadbir yang sedang berlaku sehingga mencipta sejarah hitam yang amat merugikan peneroka Felda, ” tambahnya.

Justeru itu katanya, mengekalkan kepimpinan kerajaan sedia ada akan memporak-perandakan negara dan mencelarukan sistem pentadbiran negara.

Rentetan itu jelasnya, Umno dan BN tidak wajar diberi mandat sekali lagi untuk meneruskan pengkhianatan mereka terhadap kepentingan orang Melayu dan juga peneroka Felda serta generasi muda yang akan datang.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *